Dengan nama Mu Ya Allah, tuhan yang mengikat hati manusia dengan kasih sayang... Hanya kebaikan yang kami dambakan di setiap celahan ketetapan yang telah Engkau rencanakan... Engkau Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi kami.... serta bagi insan-insan disekeliling kami... Semoga kebaikan dan keberkatan dari rencanaMu menyebar dan dirasai setiap jiwa-jiwa yang beriman... Permudahkanlah jalan kami dalam melusuri setiap rencana yang kau tetapkan Ya Allah......

Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari lemah kemahuan dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat penakut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia

12/06/2013

Subhanallah..... Kisah Mayat Baca Surah Yassin di Makkah

Gambar lubang kubur Ma'la - perkuburan jemaah haji yang meninggal dunia di Mekah

Cerita dipetik daripada blog melayukini.net. 

Mengikut blog tersebut, ini adalah cerita benar yang telah diceritakan oleh pelajar-pelajar Malaysia di Arab Saudi dan ianya telah disahkan oleh Ustaz Halim Naser, seorang penceramah bebas di Malaysia. Peristiwa ini berlaku di musim haji yang lepas.

Mengikut ceritanya, pada musim haji yang lepas, beberapa orang pelajar Malaysia telah mengerjakan ibadat haji dan telah mengikut seorang Arab untuk urusan pengkebumian satu maya yang meninggal dunia pada musim haji itu. Makam yang di tuju terletak di Ma'la iaitu tempat pengkebumian mayat yang dikhaskan untuk jemaah haji yang meninggal dunia di Mekah.

Di sini cara mereka mengkebumikan mayat agak berbeza daripada di Malaysia. Mereka akan menggalikan satu lubang yang kemudiannya diletakkan mayat tersebut di dalamnya. Mayat tersebut akan di biarkan di dalam lubang tersebut yang ditutup selama 8 bulan. Selepas itu lubang tersebut akan dibuka semula untuk meletakkan mayat yang baru. Ini mungkin keraja kerajaan Saudi ingin menjimatkan tanah perkuburan kerana saban tahun ramai yang akan meninggal dunia di Mekah. Jadi ini adalah satu sistem yang mereka buat untuk menyelesaikan masalah tanah perkuburan. Lagipun di sana, udaranya panas dan kering. Jadi masalah bau busuk mungkin tidak seperti di negara kita yang beriklim panas dan lembab.

Jadi pada hari tersebut satu lubang yang telah lebih 8 bulan dibuka untuk menempatkan mayat yang baru meninggal tadi. Apa yang mengejutkan, apabila sahaja lubang itu dibuka, orang Arab tadi telah bertempiaran lari. Apa yang dilihatnya bukanlah pemandangan yang biasa dilihat. Kali ini dia melihat satu mayat sedang bersila, bukannya tidur seperti kebiasaan yang dilihat.

Dihujani dengan perasaan ingin tahu yang mendalam, pelajar Malaysia ini telah memberanikan diri dengan merangkak ke dalam lubang kubur tersebut untuk melihat dengan lebih jelas. Dia mendapati memang mayat tersebut sedang bersila dan mayat tersebut sedang membaca Al-Quran. Dan Al-Quran itu pula adalah Al-Quran yang asli.

Setelah diamati lagi, ayat Al-Quran yang sedang terbuka ketika itu adalah Surah Yasin. Satu perkara lagi yang menghairankan ialah mayat tersebut tidak reput. Begitu juga kain kafan yang membaluti tubuhnya. Yang reput hanyalah kapas yang diletakkan di antara mayat dengan kain kafan (kain ihram) tersebut.

Setelah diselidiki asal usul mayat tersebut, ia adalah mayat seorang lelaki berkulit hitam yang kerjanya ialah membersihkan Baitullah jika ada berlaku tumpahan air zam-zam. Kerjanya tiada lain selain membersihkan Baitullah daripada tumpahan air zam-zam. Jika tiada tumpahan, dia akan duduk di suatu sudut Baitullah dan membaca Surah Yasin, yang juga dikenali sebagai Hati Al-Quran.

Lihat... itulah ganjaran dan kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada orang yang berbakti kepada Baitullah. Seperti yang kita semua tahu, segala amal kebaikkan di sana akan diganjari dan dilipat gandakan ganjarannya.

Ada satu hadis berkenaan perkara ini:

Dari Jabir R.A; bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda: satu sembahyang di masjidku (Masjid Nabawi) adalah lebih afdhal (lebih baik) daripada 1,000 sembahyang di masjid-masjid yang lain kecuali di Masjidil Haram di Makkah dan satu sembahyang di Masjidil Haram pula lebih afdhal daripada 100,000 sembahyang di masjid-masjid yang lain.

Walaupun hadis ini membicarakan khusus tentang ganjaran pahala solat, tetapi itu menunjukkan kelebihan beramal di masjid berkenaan termasuklah berbakti dengan mengelap tumpahan air zam-zam.

Selepas peristiwa itu, lubang kubur itu pun di patri (disimen) dan ditandakan agar tiada mayat lagi yang akan dikebumikan di situ...

Subhanallah..... itulah janji Allah kepada hambaNya yang berbakti dan ikhlas kepadaNya, tidak kira kaya, miskin, kacak atau buruk seseorang hamba itu. Pada Nya yang paling utama adalah TAQWA.

Wallahua'lam.








23/05/2013

Maafkan Aku Wahai Isteri

Semoga penulisan dari ustaz dapat mendidik dan mengingati para suami agar menjadi insan yang beriman. 
MAAFKAN AKU WAHAI ISTERI…
Maafkan ku wahai isteri kerana tidak memaafkan mu! Sesungguhnya ketika ini hati ku tidak menentu. Resah dan gelisah. Puas ku cari puncanya, rupanya segala-galanya kerana tidak memaafkan mu. Tidak memaafkan itu sesungguhnya satu dosa. Dosa itu pasti meresahkan.
Benarlah seperti apa yang pernah ditegaskan oleh  Rasulullah SAW:  “Dan dari Wabishah bin Ma’bad RA, ia berkata : “Aku telah datang kepada Rasulullah SAW, lalu beliau bersabda : ‘Apakah engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?’
Aku menjawab : ‘Benar’.
Baginda bersabda : ‘Mintalah fatwa dari hati mu. Kebajikan itu adalah apa-apa yang menenteramkan jiwa dan menenangkan hati dan dosa itu adalah apa-apa yang meragukan jiwa dan meresahkan hati, walaupun orang-orang memberikan fatwa kepada mu dan mereka membenarkannya”. (HR. Ahmad)
Ketahuilah aduhai isteri, sebaik sahaja surat ini di sisi, kau telah ku maafkan. Maafkan aku kerana tidak memaafkan mu. Sesungguhnya, aku acap kali dikuasai ego, sehingga terasa aku lebih ‘besar’, lebih penting dan lebih berkuasa…  sehingga dengan itu aku  tidak mampu memaafkan. Sedangkan aku hakikatnya hanyalah seorang hamba… yang kerdil, lemah dan berdosa. Siapalah diri ku sehingga tidak mampu memaafkan, sedangkan Allah, Tuhan yang Maha Besar itu pun sentiasa memaafkan.
Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah s.a.w. bersabda, ”Allah Yang Maha Tinggi berfirman: “Wahai anak Adam, sesungguhnya jika kamu berdoa kepada Ku dan mengharapkan- Ku maka Aku akan mengampuni mu atas semua dosa yang kamu lakukan, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, andai kata dosa-dosa mu itu sampai ke puncak langit kemudian kamu meminta ampunan kepada Ku nescaya Aku ampuni dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya kamu datang kepada Ku dengan dosa yang besarnya seisi bumi seluruhnya, kemudian datang menemui Ku dan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain nescaya Aku akan datang kepada mu dengan ampunan yang besarnya seisi bumi seluruhnya.”
Sungguh, setelah aku teliti dengan hati-hati segala kesalahan mu isteri… semuanya berpunca daripada kesalahan ku jua. Aku yang masih gagal mendidik mu. Aku yang masih kurang sabar dalam menghadapi kerenah mu. Aku yang masih tidak lunak dalam bertindak dan berkata. Hingga dengan itu, kesalahan mu cuba ku tangani dengan satu kesalahan juga. Malah ada kala dengan satu kesalahan yang lebih besar lagi.
Sepatutnya, aku tidak terkesan dengan wajah mu yang mencuka dan layanan mu yang selamba. Tapi entah kenapa, pada hari itu aku menjadi sangat perasa. Mungkin kerana ujian dan cabaran yang begitu berat ketika pulang dari bermusafir. Keletihan, cabaran dan masalah ada kalanya menggugat juga ketenangan kita. Lalu aku rasakan segala-galanya itu hanya aku yang mengalami tanpa ku sedari kau juga sedang diuji. Apa kurangnya ujian dalam rumah dibandingkan ujian di luar rumah. Mungkin tidak dari segi fizikal, namun mental dan emosi mu tentu sahaja teruji.
Belum, belum… aku belum mampu menjadi suami seperti Sayidina Umar RA, yang mampu menghadapi kerenah isteri dengan senyuman. Yang mampu berdiam diri menghadapi leteran isteri. Bukan kerana takut isteri. Bukankah Sayidina Umar adalah insan penuh keberanian sehingga digeruni oleh para syaitan? Namun, begitulah tarbiah Umar kepada isterinya. Leteran dihadapi dengan kesamaran. Api kemarahan akan padam apabila disiram dengan salju kemaafan. Akan kurenungi kembali nasihat Sayidina Umar kepada seorang suami yang sering menghadapi kerenah isterinya dengan meluahkan suara hatinya sendiri ketika berdepan dengan situasi yang sama: “Hai saudara ku, aku terima keadaan itu kerana jasa-jasa isteri ku pada ku; dia seorang tukang masak makanan ku dan pencuci pakaian ku, dan yang menyusu anak ku, padahal semua itu bukan kewajipannya. Selain dari itu, dia dapat menahan hati ku dari perbuatan haram. Maka kerana semua itulah aku terima saja kecerewetannya.”
Ya, itulah peribadi Sayidina Umar yang sesungguhnya telah dididik oleh Rasulullah SAW. Pernah suatu masa Sayidina Umar masuk menemui  Nabi Muhammad yang ketika itu Nabi sedang berbaring.  Nabi telah menyendiri di biliknya dan sebelum itu telah tersebar khabar angin bahawa baginda telah menceraikan isteri-isterinya.
Sayidina Umar : Ya Rasulullah, adakah kamu telah ceraikan isteri-isteri kamu?
Nabi Muhammad S.A.W. mengangkat kepalanya dan berkata : Tidak
Sayidina Umar : “Allahu akbar Allahu akbar. Tuan boleh lihat sendiri betapa wanita-wanita kita tidak sesekali berani mengungkit dan membalas apa kita cakap. Sekarang mereka mula telah terkesan dengan perempuan kaum ansar yang suka mengungkit dan membalas cakap suami mereka.”

Suatu hari saya marah isteri saya dan dia berkata : “Apa yang peliknya jika saya mengungkit dan membalas cakap awak sedangkan isteri-isteri Nabi pun melakukannya terhadap Nabi.
Sayidina Umar : Agak malanglah sesiapa di kalangan mereka itu yang melakukan sedemikian. Adakah kamu boleh tenang dengan kemurkaan Allah kerana membuat kemarahan Baginda. Habislah kalau begitu.

Nabi Muhammad tersenyum mendengar kata-kata sayidina Umar.
Sayidina Umar : “Ya Rasulullah, suatu ketika saya jumpa Hafsah dan berkata kepadanya : Janganlah kamu terpedaya dengan perasaan kamu apabila melihat mereka lebih comel dan disukai oleh Nabi.”
Nabi tersenyum sekali lagi.
Sayidina Umar : “Adakah Tuan sudah merasa lega dan terhibur?”
Nabi berkata : “Ya.”

Semakin ku renung semakin terasa bersalah. Sungguh aku telah bersalah ketika ku tolak rayuan mu untuk dimaafkan tempoh hari.  Aku terlupa akan firman Allah ini: “Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepada mu) dengan cara yang lebih baik. Apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadap mu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” Al- Fushshilat : 34
Teringat aku ‘mauizah’ yang pernah ku terima dalam usrah suatu ketika dulu:“Jika tidak ada orang yang melakukan kesalahan kepada kita, mana mungkin kita mendapat pahala sabar? Jika tidak ada orang yang bersalah dengan kita, kita akan rugi… kerana tidak berpeluang mendapat pahala memaafkan. Sedangkan sabar dan memaafkan itu sangat besar pahala serta nilainya di sisi Allah.”
Begitu pesan para murabbi yang telah sama-sama kita dengar berulang kali. Ya, aku suami yang pelupa. Lupa akan pahala sabar. Alpa akan kelebihan memaafkan. Sedangkan telah lama Allah mengingatkan melalui firmanNya:”Orang yang sabar akan mendapat pahala tanpa hisab.” Allah jua telah mengingatkan:”. “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah Yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (QS. Az-Zumar: 10)
Sebagai suami aku seharusnya berjiwa murabbi. Seorang murabbi seharus nya lebih banyak memuji daripada mengeji, memujuk daripada mengutuk, mengajak berbanding membentak, melapangkan daripada menyusahkan… sayangnya, aku tidak sebegitu. Kekadang aku terlalu cepat menghukum. Sedangkan telah berkali-kali diperingatkan oleh orang yang bijaksana, “sesiapa yang cepat menghukum tidak akan sempat memberi kasih sayang!”
Lalu, di akhir lembaran ini sekali lagi… ku ulangi ayat pertama dalam surat ini, “maafkan ku wahai isteri kerana tidak memaafkan mu!”

Maafkan Aku Wahai Suami

Mudah-mudahan penulisan dari ustaz dapat dijadikan muhasabah dan panduan buat seluruh isteri seseketika menghadapi ujian rumah tangga – medan jihad yang di sana bermulanya segala JIHAD yang lebih besar.
MAAFKAN AKU WAHAI SUAMI...
Dua bilah kayu disatukan dengan paku. Dua ketul bata disatukan dengan simen. Dua hati di satukan dengan apa? Jawabnya, dengan iman. Dua hati yang beriman akan mudah disatukan. Jika dua hati mengingati yang SATU, pasti mudah keduanya bersatu. Begitulah dua hati suami dan isteri, akan mudah bersatu bila iman di dalam diri masing-masing sentiasa disuburkan.
Bukan tidak pernah terguris. Bukan tidak pernah bertelagah. Tetapi jika di hati sama-sama masih ada ALLAH, perdamaian akan mudah menjelma semula. Yang bersalah mudah meminta maaf. Yang benar mudah memberi maaf. Tidak ada dendam memanjang. Masam cuma sebentar. Pahit hanya sedikit. Itulah yang ditunjuk oleh teladan rumah tangga Rasulullah s.a.w. Ada ribut… tetapi sekadar di dalam cawan. Ada gelombang… tetapi cepat-cepat menjadi tenang.
Jika ditanyakan kepada dua hati yang bercinta, siapakah yang lebih cinta pasangannya? Maka jawabnya, siapa yang lebih cintakan Allah, dialah yang lebih cintakan pasangannya. Justeru, janganlah hendaknya hanya berfikir bagaimana hendak mengekalkan cinta antara kita berdua, tetapi berusahalah terlebih dahulu agar mencintai kepada yang Esa. Jika kita bersama cintakan yang Maha Kekal, pasti cinta kita akan berkekalan.
Jika paku boleh berkarat, simen boleh retak, maka begitulah iman, boleh menaik dan menurun. Iman itu ada “virusnya”. Virus iman ialah ego (takbur). Jangan ada takbur, cinta pasti hancur. Orang takbur merasa dirinya lebih mulia, pasangannya lebih hina. Jika demikian, manakah ada cinta? Cinta itu ibarat dua tangan yang saling bersentuhan. Tidak ada tangan yang lebih bersih. Dengan bersentuhan, keduanya saling membersihkan. Tetapi ‘tangan’ yang ego, tidak mahu bersentuhan… Konon takut dikotorkan oleh tangan yang lain!
Bila berbeza pandangan, pandangannya sahaja yang benar. Kau isteri, aku suami. Aku ketua, kau pengikut. Aku putuskan, kau ikut saja. Jangan cuba menentang. Menentang ertinya dayus. Maka terkapa-kapalah sang isteri tanpa boleh bersuara lagi. Sedikit cakap, sudah dibentak. Senyap-senyap, isteri menyimpan dendam. Suami ‘disabotaj’nya dalam diam. Tegur suami, dijawabnya acuh tak acuh. Senyumnya jadi tawar dan hambar. Perlahan-lahan, jarak hati semakin jauh. Cinta semakin rapuh. 
Ada pula isteri yang ego. Heroin sudah mengaku hero. Suami dicaturnya satu-satu. Tidak jarang meninggikan suara. Silap suami yang sedikit didera dengan rajuknya yang panjang. Anak-anak dibiarkan. Dapur berselerak. Pinggan mangkuk tidak dibasuh. Kain baju sengaja disepah-sepahkan. Rasakan akibat menentang aku. Mengaku salah tidak sekali. Minta maaf? Pantang sekali!
Ego sisuami selalunya terserlah. Boleh dilihat daripada jegilan mata dan suara yang meninggi. Mungkin pintu dihempaskan dengan kuat atau hon kereta ditekan bertalu-talu. Atau boleh jadi diherdik siisteri di hadapan anak-anak atau isteri diperleceh di hadapan saudara mara atau tetamu yang datang. Bila ramai yang datang bertandang itulah masa sisuami yang ego ini menunjukkan kuasa dan belangnya.
Ego siisteri terpendam. Mungkin kerana tidak ada dominasi kuasa atau keberanian, siisteri menunjukkan egonya dengan bermacam-macam-macam ragam. Daripada sengaja melaga-lagakan pinggan yang dibasuh… sehinggalah memalingkan badan dan muka ketika di tempat tidur.
Alhasil, cuaca rumah tangga menjadi muram. Rumah hanya jadi ‘house’ tidak jadi ‘home’ lagi. Tidak ada keceriaan, kehidupan dan kemanisannya lagi. Semuanya bungkam. Ya, rumah (house) dibina dengan batu, kayu dan konkrit, manakala rumah tangga (home) dibina dengan kasih sayang, cinta dan sikap saling menghormati. Tidak ada rindu yang menanti suami ketika pulang dari bekerja. Tidak ada kasih yang hendak dicurahkan oleh suami kepada isteri yang menanti di rumah. Anak-anak jadi kehairanan? Apa sudah jadi pada kedua ibu-bapa ku?
Bila ada ego di hati, cinta akan menjauh pergi. Retak akan menjadi belah. Kekadang hati keduanya merintih, mengapa jadi begini? Bukankah antara aku dan dia ada cinta? Mengapa terasa semakin jarak? Apakah yang perlu aku dan dia lakukan untuk menyemarakkan semula rasa cinta. Lalu akal berfikir, berputar-putar mencari idea. Oh, mari ulangi musim bulan madu yang lalu. Kita susuri pulau, tasik, laut atau lokasi pertemuan kita nan dulu.
Malang, cuma sebentar. Gurau, senda cuma seketika. Tidak mampu lagi memutar jarum kenangan lama dengan hati yang telah berbeza. Tidak ada lagi tarikan fizikal yang ketara. Cumbu berbaur ghairah seakan telah terlupa. Bulan madu yang cuba diperbaharui tidak menjadi… kedua hati bercakar lagi. Mereka cuba memperbaharui lokasi, tanpa memperbaharui hati. Selagi ada ego, ke mana pun tidak akan menjadi. Jika ada ego, yang wangi jadi busuk, yang manis jadi tawar, yang indah jadi hambar.
Ada juga pasangan yang hendak ‘membeli’ cinta. Ingin dibangkitkan kembali rasa cinta dengan mata benda. Nah, ini kalung emas ribuan ringgit sebagai tanda cinta ku masih pada mu, kata suami. Dan ini pula cincin berlian untuk memperbaharui kemesraan kita, balas siisteri. Masing-masing bertukar hadiah. Semoga dengan barang-barang berharga itu akan kembalilah cinta. Namun sayang sekali, sinar emas, cahaya berlian, tidak juga menggamit datangnya cinta. Cinta diundang oleh nur yang ada di hati. Nur itu tidak akan ada selagi ego masih ada di jiwa.
Susurilah cinta yang hilang di jalan iman. Buanglah kerikil ego yang menghalang. Ego hanya membina tembok pemisah di antara dua hati walaupun fizikal masih hidup sebumbung. Mungkin di khalayak ramai, masih tersenyum dan mampu ‘menyamar’ sebagai pasangan yang ideal tetapi hati masing-masing TST (tahu sama tahu) yang kemesraan sudah tiada lagi.
Pasangan yang begitu, boleh menipu orang lain. Namun, mampukah mereka menipu diri sendiri? Yang retak akhirnya terbelah. Penceraian berlaku. Mereka berpisah. Masyarakat yang melihat dari jauh pelik, mengapa begitu mesra tiba-tiba berpisah? Tidak ada kilat, tidak ada guruh, tiba-tiba ribut melanda. Oh, mereka tertipu. Perpaduan yang mereka lihat selama ini hanyalah lakonan. Allah membongkar rahsia ini menerusi firman-Nya:
“Kamu lihat sahaja mereka bersatu tetapi hati mereka berpecah.”
Carilah di mana Allah di dalam rumah tangga mu. Apakah Allah masih dibesarkan dalam solat yang kau dirikan bersama ahli keluarga mu? Apakah sudah lama rumah mu menjadi pusara akibat kegersangan zikir dan bacaan Al Quran? Apakah sudah luput majlis tazkirah dan tarbiah yang menjadi tonggak dalam rumah tangga? Di mana pesan-pesan iman dan wasiat taqwa yang menjadi penawar ujian kebosanan, kejemuan dan keletihan menongkah arus ujian?
Penyakit ego menimpa apabila hati sudah tidak terasa lagi kebesaran Allah. Orang yang ego hanya melihat kebesaran dirinya lalu memandang hina pasangannya. Hati yang ego itu mesti dibasuh kembali dengan rasa bertauhid menerusi ibadah-ibadah khusus – solat, membaca Al Quran, berzikir, bersedekah – dan paling penting majlis ilmu jangan diabaikan.
Firman Allah:
“Dan berilah peringatan. Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang mukmin.”
Sedangkan orang mukmin pun perlu diperingatkan, apatah lagi kita yang belum mukmin? Iman itu seperti mana yang dimaksudkan hadis, boleh menambah dan mengurang. Untuk memastikan ia sentiasa bertahan malah bertambah, hati perlu berterusan bermujahadah. Lawan hawa nafsu yang mengajak kepada ketakburan dengan mengingatkan bahawa Allah benci kepada orang yang takbur walaupun sasaran takbur itu suami atau isteri sendiri.
Bila terasa bersalah, jangan malu mengaku salah. Segeranya mengakuinya dan hulurkan kata meminta maaf. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Begitulah suami yang meminta maaf kepada isterinya. Dia tidak akan hilang kewibawaannya bahkan bertambah tinggi. Bukankah orang yang merendahkan diri akan ditinggikan Allah derjat dan martabatnya? Justeru, lunturkan ego diri dengan membiasakan diri meminta maaf. Tidak kira ketika kita rasa kita benar, lebih-lebih lagi apabila terasa kita yang bersalah.
Namun, lelaki yang tewas ialah lelaki yang sukar mengaku salah. Dia sentiasa tidak ingin mengalah. Pada ketika itu dia telah memiliki salah satu dari tiga ciri takbur yakni menolak kebenaran. Akuilah kebenaran walaupun kebenaran itu berada di pihak isteri. Tunduk kepada kebenaran ertinya tunduk kepada Allah. Jangan bimbang takut-takut dikatakan orang takutkan isteri. Kita takutkan Allah. Allah benci orang yang takbur.
Begitu juga isteri. Jika sudah terbukti salah, akui sahajalah. Dalam pertelagahan antara suami dan isteri, apakah penting siapa yang menang, siapa yang kalah? Kita berada di dalam gelanggang rumah tangga bukan berada di ruang mahkamah. Kesalahan suami adalah kesalahan kita juga dan begitulah sebaliknya. Rumah tangga wadah untuk berkongsi segala. Perkahwinan satu perkongsian, bukan satu persaingan. Kalau kita menang pun apa gunanya? Padahal, kita akan terus hidup bersama, tidur sebantal, berteduh di bawah bumbung yang sama.
Mujahadahlah sekuat-kuatnya menentang ego. Bisikan selalu di hati, Allah cintakan orang yang merendah diri. Allah benci orang yang tinggi diri. Pandanglah pasangan kita sebagai sahabat yang paling rapat. Kita dan dia hakikatnya satu. Ya, hati kita masih dua, tetapi dengan iman ia menjadi satu. Bukan satu dari segi bilangannya, tetapi satu dari segi rasa. Sebab itu sering diungkapkan, antara makhluk dengan makhluk mesti ada Khalik yang menyatukan. Ingat, hanya dengan iman, takbur akan luntur, cinta akan subur!

MAAFKANKU WAHAI SUAMI
Kadang-kadang aku rasa akulah
Isteri yang terlalu banyak menerima
Sedangkan engkau tak pernah meminta
Kadang-kadang aku rasa
Akulah isteri yang baru terjaga
Sedangkan engkau tak pernah terlena
Kadang-kadang ku bersuara tanpa berfikir
semua perkataan ku menjadi salah
Datanglah ke sini dan pegang tangan ku
Sementara ku cerita kehidupan isteri
Harap dimengerti
Kadang-kadang ku sakiti hati mu
Bila ku tolak sentuhan mu
Bukan bermaksud aku kurang menyayangi mu…
Namun cabaran terlalu
Kadang-kadang aku berubah pada pandangan mu
Tapi sayang, itu tidak benar
Tiada apa yang paling ku hargai
Daripada kehidupan manis bersama mu
Kadang-kadang ku fikir sejuta tahun
Adalah terlalu singkat
Hanya ku beritahu mu betapa sayangnya aku
Betapa syukurnya aku…
kau pelindung ku
Kadang-kadang berjauhan dengan mu
Akulah isteri yang terlalu tinggi bercita-cita…
Mencipta kerukunan keluarga
Namun aku tetap aku yang ini…
Maafkan aku wahai suami!

22/05/2013

Bisu Yang Bersuara

Kata orang, komunikasi tahap tinggi ialah; kemampuan kita mendengar sesuatu yang tidak diperdengarkan. Komunikasi tanpa suara, begitulah istilah yang mungkin paling tepat untuk menamakan komunikasi jenis ini. Mendengar bukan sekadar dengan telinga, tetapi dengan mata dan hati. Berikan hubungan mata, jalinkan rasa hati. Itulah maksud mendengar yang hakiki. Jika tidak, kita masih dikira ‘tuli’ dalam perhubungan sesama suami-isteri.
“Dah berapa kali saya nyatakan…. Tapi awak macam tak faham. Tak faham atau tak mahu faham?” Begitulah selalu kita dengar kemarahan seorang suami.

“Dah berapa kali saya cakap baik-baik abang tak mahu dengar. Terpaksalah saya jerit macam ni. Kalau abang tak faham juga tak tahulah… saya bosan!”  Begitu pula luahan kekecewaan seorang isteri.
Semua kata-kata di atas menunjukkan betapa manusia sering ‘gagal’ mendengar kata-kata pasangannya. Termenung saya memikirkannya…. Sebagai suami, saya selalu mengharapkan isteri mendengar kata-kata yang saya luahkan tanpa suara. Namun, Saya sedar, mana mungkin saya menerima tanpa terlebih dahulu memberi. Ertinya, setelah saya benar-benar ‘mendengar’, barulah saya didengari.
“Awak sedar tak banyak kemahuan saya yang awak gagal penuhi?” kata suami berang.
“Eh, awak kira kemahuan awak sahaja. Kemahuan saya? Dah berapa banyak awak penuhi? Saya tak dapat apa-apa dari perkahwinan ini!” balas isteri.
Mana lagi perhubungan yang paling intim dalam kehidupan ini selain hubungan antara suami dengan isterinya. Apa kemahuan suami, harap-harap dipenuhi oleh isteri. Begitulah sebaliknya. Tetapi, mampukah semua kemahuan ini dipenuhi? Silapnya, kebanyakkan kemahuan itu dipendamkan sahaja. Tidak diperdengarkan. Jikapun diperdengarkan akhirnya, tetapi semua telah terlewat. Sudah jadi jeritan, bukan bisikan.
Beringat-ingatlah, kita tidak mungkin menerima tanpa terlebih dahulu memberi. Justeru, marilah kita, para suami mendengar dahulu apa suara hati isteri sebelum mereka mendengar suara hati kita. Saya takut, kalau-kalau kita tidak berusaha mendengar bisikan, nanti kita terpaksa mendengar jeritan. Jadi, tumpang isteri masih sudi berbisik, marilah kita dengar bisikan itu. Takut-takut bila kita tuli dengan bisikan, dia terpaksa menjerit untuk memaksa kita mendengarnya. Jadi…. Dengarlah bila isteri berbisik, “ abang, dengarlah suara hati saya… sampai bila hubungan kita akan renggang begini?” Jika tidak kita akan mendengar jeritan: “Abang, muktamad ceraikan saya!”
Mungkin ini yang dimaksudkan dengan kata-kata: Kalau cinta luahkan, kalau benci beterus-terang. Ah, tidak semudah itu. Lebih-lebih lagi dalam hubungan suami-isteri, justeru sering terjadi, orang yang paling berpotensi untuk kita benci ialah orang yang pernah paling kita sayangi. Nauzubillah! Ah, agaknya kerana itulah kekadang ada yang jadi terlalu pesimis dengan perkahwinan sehingga sanggup mengatakan, perkahwinan adalah kuburan percintaan!
Suatu hari pernah saya bertanya, apakah yang diperlukan oleh isteri saya. Dia senyum. Diam. Saya jadi buntu. Niat hati, kalau dia berani menyuarakan, nanti saya tidak segan-segan menyuarakan isi hati saya pula. Ini konsep, “first seek to understand than to be understood”. Tapi sukarnya memahami hati wanita…. Berbicara bukan melalui kata dan suara tetapi lebih pada lirikan mata dan lenggokan gaya. Bahasa tubuh kata orang sekarang.
Lama saya tunggu, hari demi hari, minggu demi minggu. Isteri masih tidak bersuara.
“Kenapa?”
“Tak kan tak tahu…”
Jawapan ‘tak kan tak tahu’ itu menyebabkan saya semakin tidak tahu.
‘Tak kan tak tahu’ menunjukkan jawapan itu ada. Dan jawapan itu terlalu dekat dan nyata. Tetapi biasalah, sesuatu yang terlalu dekat biasanya sukar dilihat. Cuba kita rapatkan kedua-dua belah tapak tangan ke mata, rapat dan lebih rapat lagi… akhirnya pandangan kita terhadapnya akan menjadi terlalu samar. Kita tidak akan nampak lagi. Ya, mungkin suara hati isteri terlalu dekat, maka kita menjadi semakin tuli untuk mendengarnya.
“Kita membina hidup atau kehidupan?”
Saya kaget sebentar. Beza antara ‘life’ dan ‘living’ terlalu besar.
“Kedua-duanya,” jawab saya.
“Tapi mana yang lebih penting?”
“Kehidupan,” jawab saya pendek.
“Apa bezanya hidup dan kehidupan?” soalnya lagi.
“Kita hidup dengan makanan, pakaian, kenderaan dan tempat tinggal. Tapi kita membina kehidupan dengan kasih-sayang, cinta dan kemesraan.”
“Jadi, isteri teman hidup atau teman kehidupan?”

Saya panic, terasa diperangkap.
“Er… teman hidup dalam kehidupan,” saya membetulkan.
“Tahu pun!” Bidasnya pantas.
“Apa mahu isterimu?” Dia bertanya lagi.
“Kasih sayang, kemesraan, pembelaan, kemaafan, keadilan….” Jawab saya.
“Itulah kehidupannya. Sebaliknya apa yang kamu berikan selama ini?”
Saya jadi serba salah.
“Hanya makanan, pakaian, kenderaan, rumah, wang… Itu semua untuk hidup, bukan untuk kehidupan,” tingkahnya sinis.
“Tapi saya juga inginkan semua itu darinya. Saya juga inginkan kehidupan bukan semata-mata hidup.”
“Ingat prinsip ini baik-baik: Kita hidup dengan apa yang kita dapat tetapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita beri.”
“ Maksudnya saya perlu memberi sebelum menerima?”
“Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi. Untuk orang mencintai kita, kita dahulu perlu mencintai orang itu. Itu hukum kasih sayang dan cinta. Ini rukun kehidupan.”
Saya terus bermonolog (dialog dengan diri sendiri)…..
Ah, sukarnya untuk memenuhi segala kemahuan kerana kita sentiasa dibatasi kemampuan. Mungkin kita mahu, tapi tidak mampu. Mungkin kita mampu, tapi tidak mahu. Ini lebih sukar. Ya! Apabila difikir-fikirkan masalah tidak mahu lebih sukar daripada tidak mampu. Ramai isteri yang tidak mahu memenuhi kemahuan suami dan begitu juga ramai suami yang tidak mahu memenuhi kemahuan isteri. Mahu bukan soal fizikal dan material tetapi soal fikiran, hati dan perasaan.
“Senyum bila berdepan dengan suami…” pesan para ulamak untuk isteri.
Mampu? Siapa yang tidak mampu kalau sekadar tersenyum. Tetapi berapa ramai isteri yang mampu tersenyum di depan suami.
“Peluk isteri sekurang-kurangnya 5 kali sehari tanpa dibauri keinginan seks. Maksudnya semata-mata untuk melahirkan kasih-sayang,” kata pakar motivasi.
Mampu? Berapa banyak tenaga yang diperlukan untuk memeluk isteri wahai para suami? Tak banyak, tetapi berapa ramai antara kita yang mahu melakukannya.
Hasilnya, semuanya kembali kepada Allah. Barangsiapa yang memenuhi keperluan-Nya akan ada kemahuan dan kemampuan untuk memenuhi keperluan sesama manusia. Jadi jangan kemahuan kita yang didahulukan…. Dahulukan perintah Allah. Allah tetapkan ketaatan seorang isteri hanya untuk suaminya. Allah mahukan pembelaan seorang suami hanya untuk isterinya. Itulah hakikatnya ‘kemahuan’ Allah, yang sebenarnya Dia tidak mahu…  kerana segala ‘kemahuan-Nya’ hanya untuk manfaat hambaNya. Dia Maha Kaya!

20/05/2013

...... Berdakwah.....

"Sesungguhnya apabila aku menasihati kamu, bukanlah aku terbaik dikalangan kamu, bukan juga aku yang paling soleh di kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah, maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan" ~ Imam Hasan Basri