Dengan nama Mu Ya Allah, tuhan yang mengikat hati manusia dengan kasih sayang... Hanya kebaikan yang kami dambakan di setiap celahan ketetapan yang telah Engkau rencanakan... Engkau Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi kami.... serta bagi insan-insan disekeliling kami... Semoga kebaikan dan keberkatan dari rencanaMu menyebar dan dirasai setiap jiwa-jiwa yang beriman... Permudahkanlah jalan kami dalam melusuri setiap rencana yang kau tetapkan Ya Allah......

Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari lemah kemahuan dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat penakut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia

10/10/2012

Kata-kata selembut rasa cinta

Apabila Allah inginkan kebaikan kepada sebuah rumah tangga, maka diberikannya kelembutan dalam interaksi dan komunikasi sesama anggotanya.
Itulah petanda yang sangat ketara dan dapat dirasai bukan sahaja oleh mereka tetapi bagi orang lain yang melihatnya.
Cinta dan kasih sayang umpama mentari, cahayanya boleh dilihat oleh sesiapa sahaja yang punya mata. Bersyukur jika kelembutan itu ada dalam rumah tangga kita, kerana itu petanda kebaikan berada bersama kita. “Orang yang dijauhkan dari sifat lemah lembut, maka ia dijauhkan dari kebaikan.” (HR.Muslim)
Malangnya, kini semakin sering terdengar betapa kelembutan itu semakin hilang. Tutur kata yang kasar, bahasa yang kesat dan suara yang tinggi sudah semakin lumrah di antara suami isteri.
Mengapa suami ku suka membentak? Mengapa sejak akhir-akhir ini isteri ku sudah mula menjerit-jerit? Suaranya menjadi tinggi, bahasanya menjadi kesat sekali, mengapa? Itulah antara keluhan yang samada diluahkan atau dipendamkan dalam sebuah rumah tangga.
Ah, betapa manusia semakin lupa bahawa sifat lemah-lembut itu bukan sahaja diperlukan di dunia, bahkan diperlukan di akhirat. Syurga itu disedikan untuk mereka yang lemah lembut dalam sikap dan tutur kata. Rasulullah saw telah bersabda: “Mahukah aku kabarkan kepada kalian tentang orang yang diharamkan dari neraka atau neraka diharamkan atasnya? Yaitu atas setiap orang yang dekat (dengan manusia), lemah lembut, lagi memudahkan.” (HR. Tirmidzi)
Mengapa frekuensi suara pasangan suami isteri boleh meninggi? Mana bisikan cinta dan luahan rasa yang mendayu-dayu seperti mula-mula dahulu?  Mengapa suara dinyaringkan padahal jarak fizikal antara mereka begitu hampir? Ya, mengapa perlu menjerit dan membentak pada hal mereka cuma duduk bersebelahan? Apakah telinga sudah tuli atau lidah kehilangan tenaga untuk berkata-kata?
Jawabnya mudah, itu semua kerana hati telah menjauh. Walaupun jasad masih dekat, jeritan, bentakan dan herdikan diperlukan apabila dua hati sudah menjarak. Justeru, hanya jeritan nyaring sahaja mampu merentasi jarak dua hati yang telah jauh itu!
Berbeza jika cinta masih ada dan menyala-nyala. Ketika itu dua hati masih berpadu. Satu bisikan sudah cukup untuk memperdengarkan dan didengari. Jarak cinta masih sangat hampir. Cuba bayangkan sepasang suami isteri yang asyik dilamun cinta, suara mereka berbicara hanya didengar oleh mereka berdua. Justeru. ‘alat komunikasi’ yang sebenarnya bukan gajet-gajet teknologi tetapi hati.
Hati adalah alat komunikasi yang sangat canggih dengan syarat hati itu bersih. Cuba lihat bagaimana cara orang-orang soleh berkomunikasi dengan Allah lewat doanya. Suaranya perlahan, lembut, mendayu-dayu, merayu-rayu, penuh rasa harap dan malu.
Firman Allah:“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.”  (Al-A’raf 55-56)
Dan itulah jua asas dan teras komunikasi Allah dengan hambaNya. Sabda Rasulullah s.a.w:  “Sesungguhnya Allah adalah Dzat Yang Maha Lembut yang mencintai kelembutan dalam seluruh perkara.” (HR. Al Bukhari dan Muslim). Oleh kerana itulah nama-nama Tuhan sangat rapat dengan sifatNya yang Maha Lembut- Ar Rahman, Ar Rahim, Al Latif, Al A’fu, Al Ghafar dan lain-lain.
Perlu diingat, komunikasi bukan hanya menggunakan telinga dan mulut, tetapi menggunakan mata dan hati. Kita perlu memandang orang yang sedang berdepan dengan kita. Jangan hanya kata-kata kita tujukan kepadanya. Pandang dengan kasih sayang. Hati itu jendela bagi hati. Justeru, pertautan mata bermakna pertautan hati. Bahasa mata dan hati inilah yang dikenali sebagai bahasa rasa.  Itulah bahasa  sejagat yang  mempunyai nada dan melodi yang sangat harmoni.
Mata sangat diperlukan dalam komunikasi cinta. Oleh itu pandanglah mata pasangan kita, lalu berbicaralah dengan mata dan kata-kata, pasti hati kita dan dia akan bertaut… Ya, sekiranya di hati kita berdua masih ada cinta.
Namun, jika kita tidak mampu lagi merenung matanya,  dan bicara kita hanya dengan kata-kata dan telinga, itu petanda cinta sudah terguris. “Sesungguhnya sifat lemah lembut itu tidak berada pada sesuatu melainkan dia akan menghiasinya (dengan kebaikan). Sebaliknya, tidaklah sifat itu dicabut dari sesuatu, melainkan dia akan membuatnya menjadi buruk.” (HR. Muslim)
Pasti ada yang tidak kena di mana-mana. Cuba lihat orang yang berbohong, cuba amat-amati orang yang khianat, dan telitilah sikap orang yang benci, mereka tidak akan mampu menatap mata orang yang mereka bohongi, khianati dan benci. Maka begitulah bila mata tidak turut serta dalam komunikasi antara suami dan isteri, salah seorang atau keduanya, besar kemungkinan sudah terguris hatinya!
Cuba baca sejarah Rasulullah yang agung. Bagaimana baginda berbicara dengan sesiapa sahaja di hadapannya. Matanya, gerak tubuhnya, bahasanya begitu meyakinkan. Orang yang menjadi teman bicaranya rasa dihargai, disayangi dan diberi perhatian. Bila baginda berpaling, baginda memalingkan keseluruhan badannya (bukan hanya mukanya).
Nada suaranya lembut kecuali apabila menyampaikan nasihat tentang neraka dan ancaman-ancaman dosa. Matanya merenung penuh kasih. Baginda bukan hanya menghantar mesej pakej komunikasinya sepadu dengan rasa kasih-sayang, empati, dan cinta. “Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (QS. Ali Imran: 159)
Para suami dan isteri, contohilah hati Rasulullah yang penuh cinta, insyaAllah akan lembutlah suara dan harmonilah kata-kata. Meskipun peribadi baginda terlalu tinggi untuk didaki, tidak mengapa… jika kita sekadar mampu meniru ‘di hujung kuku’.
Cuba hayati nasihat Rasulullah ini. Anggaplah Rasulullah sedang mengingatkan kita ketika baginda menasihati isterinya: “Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, Dia mencintai sikap lemah lembut. Allah memberikan pada sikap lemah lembut sesuatu yang tidak Dia berikan pada sikap yang keras dan juga akan memberikan apa-apa yang tidak diberikan pada sikap lainnya.” (HR. Al-Bukhari)
Tidak ada insan lain yang paling berhak mendengar suara cinta dan bahasa kasih kita melainkan pasangan kita! Jangan berikan pada insan lain, sebelum kita berikan kepada suami atau isteri kita.     Jika tidak, hati pasangan kita akan ‘lari menjauh’ walaupun mungkin tubuh badannya masih sebumbung dengan kita. “Maka disebabkan rahmat dari Allah lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka, sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (Qs. Ali Imran: 159)
Janganlah memperdengarkan jeritan jika bisikan sudah mampu didengar. Bahasa adalah jiwa bangsa – maksudnya, bahasa itu boleh menggambarkan jiwa. Walaupun sifat hati tidak ketara tetapi kata-kata akan membuka rahsia. Jika hati baik, tutur kata menjadi lembut, bahasa menjadi indah dan nadanya menjadi merdu. Jika hati jahat, tutur kata menjadi keras, bahasa menjadi kasar dan nadanya menjadi celaru.
Kita hanya merosakan diri sendiri dengan bahasa yang kasar berbanding orang yang kita tujukan kata-kata itu. Bahasa yang kasar datang daripada kebencian. Sesungguhnya kebencian itu akan merosakkan diri  sendiri berbanding dengan orang yang kita bencikan. Sebaliknya jika bahasa kita baik, itu datang dari rasa cinta. Dan cinta akan memberi kebaikan kepada diri  sebanyak mana yang akan diterima oleh orang yang kita cintai!
Dalam Al-Quran ALLAH memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun untuk berkata lembut kepada Firaun seperti mana firman-Nya dalam surah Thaha ayat 44:
“Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut”. Ya, para Rasul wajib menebarkan rasa kecintaan bukan kebencian.
Oleh Rasulullah saw telah bersabda:  “Sesungguhnya Allah adalah Maha Lembut lagi mencintai kelembutan. Dia memberikan pada sifat kelembutan yang tidak diberikan kepada sifat kekerasan, dan tidak pula diberikan kepada sifat-sifat yang lainnya.” (HR. Muslim)
Cinta mampu kembara merentasi ruang dan masa. Cinta adalah soal hati yang tidak mampu dipisahkan oleh jarak dan zaman. Cinta boleh melangkaui dimensi dan generasi. Justeru kita boleh mencintai Allah, yang tidak menyerupai sebarang makhlukNya. Kita boleh mencintai Rasulullah yang hidup ribuan tahun yang lalu. Kita boleh mencintai para sahabat dan para ulama silam yang tidak hidup sezaman dengan kita.
Itulah ajaibnya cinta. Ia adalah satu kekuatan yang sangat luar biasa kerana ia bertapak di hati, yakni ‘raja’ dalam kerajaan diri manusia. Apabila ada cinta, kita boleh berkomunikasi dan berintraksi walaupun dengan alat-alat perhubungan yang terhad. Cinta menimbulkan kemahuan yang sangat kuat dan bertenaga.    Namun, apabila tidak ada cinta… segalanya akan lesu dan kaku. Hati hilang keinginan, hasrat dan tenaga untuk  berkomunikasi dengan tulus, telus dan harmoni.
Bila kita kehilangan bahasa dalam bercinta, itulah petanda cinta itulah yang sebenar telah hilang! Tanpa cinta kita kehilangan makna, sedangkan makna itulah yang melahirkan bahasa… Bukankah makna cinta itu hadir dulu di dalam jiwa, kemudian barulah lahir ungkapan, aku cinta pada mu.                                               

Tegur Isteri Tanda Sayang

Tegur Isteri Tanda Sayang
“Hidup berumah ini ini perlu ada seninya”, nasihat seorang tua pada saya pada suatu hari.
“Seni bagaimana tu Pak Cik?”, tanya saya sambil tersenyum dan seterusnya ketawa.
“Ish kamu ni, jangan fikirkan yang bukan-bukan”, balasnya.
“Tak adalah Pak Cik, saya mengusik ja”.
“Macam ni, ada banyak seni yang yang perlu dipelajari terutamanya yang baru bergelar suami seperti kamu”.
“ Seni bagaimana tu Pak Cik”.
“Ada banyak seni sebenarnya. Tapi salah satu seni yang paling penting diperingkat awal perkahwinan ini adalah seni menegur isteri”.
Menegur Isteri Suatu Cabaran
            Menegur isteri merupakan suatu perkara yang amat mencabar bagi seorang lelaki. Walaupun ianya nampak mudah, namun begitu sekiranya tersalah langkah boleh membawa pecah belah di dalam rumah tangga.
            Bukan semua isteri mudah menerima teguran daripada suami, apatah lagi bagi pasangan yang memulakan perkahwinan dengan percintaan. Apabila si suami memberi teguran, si isteri akan mengungkit kisah-kisah lama semasa bercinta dimana si suami membontoti sahaja kehendaknya pada ketika itu. Sehinggakan bau kentut pun dirasakan wangi seperti deodoren.
Fitrah Wanita Perlu Di Tegur
Sudah menjadi fitrah kejadian, untuk menjadikan seorang wanita itu baik mereka perlulah ditegur dan selalu diingatkan tentang kebaikkan. Menegur bukan sahaja untuk memperbaiki, tetapi lebih daripada itu adalah sebagai salah satu langkah untuk menjadikan isteri sebagai isteri yang terbaik di dunia dan akhirat.
Oleh sebab itulah Baginda S.A.W telah berpesan kepada golongan suami berkenaan perihal ini:
Sabda Nabi S.A.W:
“Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah yang di bahagian teratas. Sekiranya kamu cuba meluruskannya, kamu akan mematahkannya dan sekiranya kamu biarkan sahaja dia akan terus bengkok selama-lamanya. Justeru, berpesan-pesanlah tentang wanita”                                                                                              (Hadis riwayat Bukhori dan Muslim)
 Seni Dalam Menegur
            Sebagaimana pesan Nabi S.A.W, untuk meluruskan tulang yang bengkok bukannya mudah. Andai tersilap mungkin boleh patah, seandainya dibiarkan ianya akan terus bengkok selama-lamanya. Di sinilah suami perlu bijak mencari strategi untuk meluruskan tulang yang bengkok ini.
            Menurut Pak Cik tersebut, ada perkara-perkara yang boleh digunakan dan tidak boleh digunakan untuk menegur isteri.
            Pertamanya, teguran tersebut boleh dilakukan secara lisan ketika pasangan suami isteri berdua-dua dalam keadaan yang tenang. Jangan sekali-kali menegur ketika sedang makan dan dihadapan khayalak ramai kerana ianya boleh menjatuhkan maruah isteri.
            Keduanya boleh dilakukan secara penulisan. Si suami boleh menulis surat atau email kepada isteri dengan ayat yang puitis untuk menegur si isteri. Namun begitu katanya, jangan sekali-kali menegur isteri dengan sms kerana ianya boleh menimbulkan salah faham dan menghancurkan hati isteri. Apatah lagi sekiranya sms tersebut diterima ketika bekerja atau memandu yang boleh menyebabkan fikiran isteri terganggu.
            Tetapi menurutnya, ianya bergantung kepada keselesaan masing-masing. Lain padang lain belalang, lain orang lain ragamnya. Asalnya ianya berhikmah nescaya ianya membawa kepada mawaddah. Teguran mestilah ikhlas untuk membimbing isteri daripada tidak tahu kepada tahu. Bukan untuk menunjukkan “kekuasaan” sebagai suami semata-mata. Bak kata orang tua-tua, “cubit-cubit sayang”.
 Bahana Suami Tidak Menegur
Sesetengah golongan lelaki memilih untuk berdiam diri. Awas, kadang-kadang tindakan berdiam diri ini boleh membawa si suami terjerumus ke dalam golongan yang dayus. Langsung tidak memberi respon walaupun si isteri melakukan kesalahan di depan mata.
Takutlah akan pesan Baginda S.A.W :
Ertinya : Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah SAW berkata : ” Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak” lalu sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus? , berkata nabi : “ Iiatu orang yang tidak memperdulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya) – ( Riwayat At-Tabrani)
 Menegur Isteri Tanda Kasih Sayang
            Ada yang menganggap, menuruti kehendak isteri itu adalah salah satu tanda seorang suami itu menyayangi isterinya. Namun begitu, ada juga premis yang menganggap perkara ini boleh menjerumuskan rumah tangga tersebut kepada kebinasaan. Ini kerana, bukan kesemua kehendak isteri perlu dituruti oleh suami.
Sekiranya isteri melakukan kesalahan atau kesilapan, ianya perlulah ditegur seawal membina rumah tangga. Janganlah ditangguhkan kerana ianya boleh membawa barah di dalam kehidupan rumah tangga tersebut. Akhirnya menjadikan kesalahan sebagai perkara biasa. Akhirnya isteri naik tocang, rumah tangga menjadi pincang. Akhirnya suami mendapat pengiktirafan sebagai suami yang dayus. 
Hidupkanlah budaya tergur menegur , nasihat-menasihati di dalam rumah tangga. Andai isteri tersalah, suami menegurnya. Begitu juga sebaliknya

09/10/2012

Cintai Dia Dalam Diam

Bila belum bersedia melangkah lebih jauh dengan seseorang, cukup cintai dia dalam diam
kerana diammu adalah salah satu bukti cinta padanya
kerana memuliakan dia dengan tidak menjalin hubungan yang terlarang

Bila belum bersedia melangkah lebih jauh dengan seseorang, cukup cintai dia dalam diam
kerana diammu memuliakan kesucian diri dan hati
kerana ia dapat menghindar diri dari perkara yang merosakkan

Bila belum bersedia melangkah lebih jauh dengan seseorang, cukup cintai dia dalam diam
kerana diammu adalah bukti kesetiaan
kerana mungkin orang yang kau cintai adalah orang yang Allah pilih untukmu atau sebaliknya

Bila belum bersedia melangkah lebih jauh dengan seseorang, cukup cintai dia dalam diam
kerana diammu tersimpan kekuatan
kerana diammu tersimpan harapan

Jika cinta diammu tidak berbicara didunia nyata .. biarkan ia tetap diam
menjadi memori tersendiri di sudut hati
menjadi rahsia antara kau dan yang Maha Mengetahui

Cukup cintai dia dalam diam
Cukup cintai dia dari kejauhan
Cukup cintai dia dengan kesederhanaan
Cukup cintai dia dengan keikhlasan
Kerana tiada yang tahu rencana Tuhan





04/10/2012

Suara Hati Ku

Ya Allah...
Aku tidak perlu orang yang sempurna untuk mendampingiku.  
Aku hanya ingin...
Orang yang mahu menjadi pelengkap kekuranganku.
Orang yang mampu membawa aku kepada Mu.
Orang yang dapat mengajar aku mensyukuri nikmat Mu.
Orang yang sering membimbing aku menuju syurga Mu.
Orang yang tutur katanya penuh nasihat dan ilmu.
Orang yang tingkah lakunya mencontohi Rasul Mu.
Orang yang sering mengingatkan aku agar tidak lalai mengingati Mu.



Orang inilah yang membuat aku merasa ada, membuat aku tersenyum dan berkata aku beruntung memilikinya.