Dengan nama Mu Ya Allah, tuhan yang mengikat hati manusia dengan kasih sayang... Hanya kebaikan yang kami dambakan di setiap celahan ketetapan yang telah Engkau rencanakan... Engkau Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi kami.... serta bagi insan-insan disekeliling kami... Semoga kebaikan dan keberkatan dari rencanaMu menyebar dan dirasai setiap jiwa-jiwa yang beriman... Permudahkanlah jalan kami dalam melusuri setiap rencana yang kau tetapkan Ya Allah......

Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari lemah kemahuan dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat penakut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia

31/01/2013

Warna Persaudaraan

HIJAU berkata: Jelas, akulah yang terpenting. Aku adalah petanda kehidupan dan harapan. Aku dipilih untuk mewarnai rerumput, pepohon dan dedaun. Tanpa aku semua hidupan akan mati.

BIRU menyampuk: Kamu hanya berpikir tentang bumi, pertimbangkanlah langit dan samudera yang luas. Airlah yang menjadi dasar kehidupan dan awan mengambil kekuatan dari kedalaman laut. Langit memberikan ruang, kedamaian dan ketenangan. Tanpa kedamaian, kamu semua tidak akan menjadi apa-apa.

KUNING menjerit: Korang ni serius ke? Aku membawa tawa, kesenangan, keceriaan dan kehangatan bagi dunia. Matahari berwarna kuning dan... bintang-bintang berwarna kuning. Setiap kali kau melihat bunga matahari, seluruh dunia mulai tersenyum. Tanpa aku dunia tidak ada kesenangan dan keserian.

JINGGA/ ORANGE menyusul dengan meniup trompetnya: Aku adalah warna kesihatan dan kekuatan. Aku kurang, tetapi aku berharga kerana aku mengisi keperluan kehidupan manusia. Aku membawa vitamin-vitamin terpenting. Bayangkan labu, tomtato, betik, mangga, peach dan persimmon. Aku tidak ada dimana-mana setiap saat, tetapi aku mengisi lazat saat fajar atau saat matahari terbenam. Keindahanku begitu menakjubkan hingga tak seorangpun dari kalian akan terfikir di fikiran orang lain.

MERAH tidak boleh diam lebih lama dan berteriak: Aku adalah pemimpin kalian. Aku adalah darah-darah kehidupan! Aku adalah warna bahaya dan keberanian. Aku berani bertempur demi suatu kuasa. Aku membawa api ke dalam darah. Tanpa aku, bumi akan kosong laksana bulan. Aku adalah warna hasrat dan cinta, mawar merah, bunga poinsettia dan bunga poppy.

UNGU bangkit dan berdiri setinggi-tinggi ia mampu dan berbicara dengan angkuh: Aku adalah warna kerajaan dan kekuasaan. Raja, pemimpin dan para marhain memilih aku sebagai petanda kuasa dan kebijaksanaan. Tidak seorangpun menentangku. Mereka mendengar dan menuruti kehendakku.

Akhirnya NILA/ INDIGO berbicara, lebih perlahan dari yang lainnya, namun dengan kekuatan niat yang sama: Fikirkanlah tentang aku. Aku warna diam. Kalian jarang memerhatikan adanya aku. Namun, tanpa aku kalian semua menjadi janggal dan pelik. Aku mempersembahkan pemikiran dan refleksi, matahari terbenam dan kedalaman laut. Kalian memerlukan aku untuk keseimbangan dan kontra, untuk doa dan ketenteraman batin.

Jadi, semua warna terus menyombongkan diri. Masing-masing yakin akan kehebatan dirinya. Perdebatan mereka menjadi semakin keras. Tiba-tiba cahaya halilintar melintas... membutakan. Guruh menggegar.

HUJAN mulai turun tanpa kasihan. Warna-warna sama-sama ketakutan, berdekatan satu sama lain.... mencari ketenangan.

Ditengah suara gemuruh, hujan berbicara: WARNA-WARNA, kalian bertengkar satu sama lain, masing-masing ingin mendominasi yang lain. Tidakkah kalian tahu bahawa kalian masing-masing diciptakan untuk tujuan khusus, unik dan berbeza? Berpegang tanganlah dan berdekatanlah kepadaku!!

Menurut perintah.... Warna-warna berpegangan tangan mendekati hujan, yang kemudinya berkata:

Mulai sekarang setiap kali hujan turun, masing-masing dari kalian akan membusurkan diri sepanjang langit bagai busur warna...  Mengingatkan bahawa kalian semua dapat hidup bersama dalam kedamaian. Itulah PELANGI. Pelangi adalah petanda.... Harapan hari esok. Jadi setiap kali HUJAN turun keras membasahi bumi, saat itulah pelangi memunculkan diri di angkasa. Marilah kita MENGINGAT untuk selalu MENGHARGI satu sama lain.

MASING-MASING KITA MEMPUNYAI SESUATU YANG UNIK, KITA SEMUA DIBERIKAN KELEBIHAN DAN KELEMAHAN UNTUK SALING BERGANTUNG ANTARA SATU SAMA LAIN.... UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN DI DUNIA DAN... SAAT KITA MENYEDARI PEMBERIAN ITU, AKAN MEMBERI KEKUATAN PADA KITA, KITA BEROLEH KEMAMPUAN UNTUK MEMBENTUK MASA DEPAN...

Persaudaraan itu bagaikan pelangi: MERAH bagaikan buah epal, keras diluar tetapi  terasa manis didalamnya... pencetus perjuangan, keberanian dan kegagahan yang akan membawa kebaikan, JINGGA/ ORANGE bagaikan kobaran api yang tidak akan pernah padam... pembakar semangat dan keyakinan yang berterusan, KUNING bagaikan mentari yang menyinari hari-hari kita... sentiasa memberi cahaya penyuluh kegelapan, HIJAU bagaikan tanaman yang tumbuh subur... sentiasa menghamparkan kedamaian dan ketenangan, BIRU bagaikan air jernih... penyejuk dikala kepanasan, memutih disaat kehitaman,   NILA/ INDIGO bagaikan mimpi-mimpi yang mengisi kalbu... menyulam hasrat, cita-cita dan impian bersama dan UNGU bagaikan kuntuman bunga yang merekah... sentiasa menceriakan, mencantikkan dan menggembirakan.









30/01/2013

Hanya Mendengar

Percayalah, kekadang manusia hanya ingin 'didengar' bukan penyelesaian. Kerana dengan didengar, manusia merasa dihargai, disayangi dan dihormati. Jika kita ingin dicintai, cukuplah dengan menjadi pendengar. Tidak perlu melakukan apa-apa, cuma dengar...

Pelbagai kesilapan dan kesalahan akan ditempuh dalam hidup akibat tidak mendengar. Kita menyangka dengan kata-kata kita boleh meraih kemesraan. Rupa-rupanya tidak. Kita akan lebih dicintai, jika menjadi pendengar.

Alangkah indahnya jika kita punya masa dan sedia meluangkan masa untuk menjadi pendengar. Kehausan untuk mendengar adalah tanda kita kekurangan kasih sayang dan cinta. Manusia tercari-cari siapa yang sudi menjadi pendengar untuk diluahkan segala dan semua. Sebenarnya mereka bukan inginkan penyelesaian tetapi hanya inginkan penghargaan dan kasih sayang. Ianya dirasai apabila merasa diri didengar.

Bertekadlah untuk menjadi pendengar. Ketaplah mulut dan bukakan hati dan telinga untuk mendengar. Insya Allah kasih sayang akan bertaut dan berbunga kembali. Jangan biarkan isteri, suami, anak, ibu bapa, pelajar, pekerja, pesakit dan pengikut kita ternanti-nanti... mulakan tugas cinta yang pertama: Hanya mendengar.

Manusia memerlukan didengar kata-katanya sama seperti dia memerlukan makanan. Tanpa makanan akan lemahlah jasad, sakitlah badan. Tanpa didengar akan tumpullah perasaan dan lumpuhlah emosi. Manusia yang membesar tanpa diberi hak didengar akan menjadi manusia yang kurang cerdas emosinya apabila dewasa kelak. Dia akan gagal mengurus perasaan marah, kecewa, takut dan dendamnya. Orang yang begini, akan gagal dalam hidupnya.

Orang yang banyak mendengar, akan banyak belajar dalam hidup ini. Orang yang banyak mendengar bukan sahaja banyak pengetahuan tetapi juga akan banyak kawan dalam masyarakat. Mungkin sebab itu Allah ciptakan kita dua telinga satu mulut sebagai simbolik, kurangkan berkata-kata tetapi banyakkan mendengar. Malangnya, kebanyakkan manusia lebih suka 'memperdengarkan' daripada mendengar cakap orang lain.

Lidah selalu menyebabkan telinga menjadi tuli. Dalam pergaulan, kita selalu sahaja ingin memonopoli perbualan. Kononnya dengan banyak bercakap kita akan terlihat lebih pandai dan bijak berbanding orang yang diam. Kebanyakkan kita menyangka orang yang diam itu bodoh. Tidak ada idea dan pendek wawasan. Sedangkan diam itulah terpuji dan bermanafaat.

Cuba lihat orang di sekeliling kita dan lihat kita sendiri. Apakah kita lebih banyak mendengar daripada berkata-kata? Kerap kali kita ingin jadi jaguh dan wira yang tidak henti-henti berkokok dimana-mana. Bila bercakap kita seolah-olah serba tahu. Kita mengetuai perbualan, kita menjuarai percakapan. Mengapa?

Sering berlaku pangkat, harta, nama serta jawatan menyebabkan seseorang tidak sudi lagi menjadi pendengar. Pangkatku lebih tinggi, aku cakap kau dengar. Namaku lebih tersohor, jangan cuba mencelah bila aku berbicara. Kau tidak layak menasihati aku, ilmuku lebih tinggi. Begitulah yang kerap kita lihat dalam kehidupan. Bukan orang lain tetapi kita sendiri.

Apakah dengan mendengar kita jadi miskin, hina dan tidak ternama? Jika itulah anggapan kita, jelas kita telah tersalah. Menjadi pendengar, menjadikan kita orang yang tawaduk (rendah diri). Orang yang tawaduk akan ditinggikan darjatnya oleh Allah. Orang yang mendengar akan lebih banyak belajar daripada orang yang berkata-kata. Semakin banyak kita belajar semakin banyak ilmu yang kita perolehi. Dan bila semakin banyak ilmu yang kita miliki, maka semakin tinggilah darjat kita disisi Allah dan manusia.

Allah yang Maha Mencipta juga bersifat Maha Mendengar - As-Sami. Allah Maha Mendengar rintihan, aduan, kebimbangan, luahan rasa daripada hamba-hambaNya setiap masa, tempat dan ketika. Allah bersedia mendengar berulang kali dan bila-bila masa sahaja. Bahkan Allah mampu mendengar seluruh pengaduan hambaNya pada satu masa.

Seorang pesakit datang merintih kerana penyakitnya.... Allah mendengar. Seorang isteri mengadu hal rumah tangga..... Allah mendengar. Seorang menteri mengadu hal negara...... Allah mendengar. Apapun dan dari sesiapapun , Allah tetap mendengar. Pintalah hal sekecil-kecil dan pintalah hal yang sebesar-besarnya. Allah tetap sudi mendengar. Daripada rintihan seorang pengemis yang merayu untuk mendapatkan sesuap nasi hinggalah munajat seorang soleh untuk mendapat syurga Allah, Allah tetep sudi mendengar. Maha Mendengar!

Sebaliknya, manusia terlalu ego dan berat sebelah. Jika yang bercakap itu tinggi pangkatnya, maka orang bawahan terpaku membisu. Bila si miskin mengadu, ramai yang tidak ambil tahu. Lihatlah Muhammad s.a.w. Baginda seorang yang sentiasa memberi hak mendengar kepada sahabat, isteri dan pengikut-pengikutnya. Walaupun, baginda “orang besar” yang memimpin negara, tetapi masih sempat mendengar rintihan anak kecil yang terbiar di tepi jalan di satu pagi Hari Raya.
Anda tidak perlu banyak cakap untuk disenangi dan disayangi, cukup dengan menjadi pendengar. Lihat mata orang yang bercakap, buka telinga dan hati, dengarlah dengan penuh simpati dan empati… nescaya orang akan jatuh hati.

Bila anak-anak menghampiri kita, pegang tangannya dan ucapkan, apa yang kamu ingin katakan? Ayah atau ibu sudi dan sedia mendengarnya. Jika pekerja bawahan menziarahi atau datang di muka pintu rumah atau bilik anda lalu memberi salam, jawab salamnya dan bawa dia dekat dan dengar luahan katanya.

Dengarlah bisikan orang di sekeliling kita. Insya-Allah, kita tidak akan terpaksa mendengar jeritan. Berapa banyak bisikan yang dibiarkan yang akhirnya bertukar menjadi jeritan yang memeritkan. Isteri ingin mengadu, suami menjauh. Anak hendak bercakap, ibu-bapa membentak menyuruh diam. Pekerja ingin berbincang, dituduh ingin mogok.

Rakyat ingin memberitahu, kononnya pemimpin serba tahu…Terlalu banyak bisikan yang dipinggirkan dan disisihkan. Akhirnya, bisikan menjadi jeritan. Anak derhaka, isteri nusyuz, diceraikan suami, pekerja lari, rakyat berpaling tadah… Semuanya gara-gara dan angkara sikap mendengar yang semakin terhakis dalam kehidupan dan pergaulan.
 

28/01/2013

12 Barisan Di Padang Mahsyar

Suatu ketika, Muadz bin Jabal r.a mengadap Rasulullah s.a.w. dan bertanya, "Wahai Rasulullah, tolong jelaskan kepadaku mengenai firman Allah s.w.t.: Pada sangkakala ditiup, maka kamu sekelian datang berbaris-baris" (Surah an-Naba:18)
Mendengar pertanyaan itu, baginda menangis dan basah pakaian baginda dengan air mata.
Lalu menjawab,

"Wahai Muadz, engkau telah bertanya kepada aku perkara yang amat besar, bahawa umatku akan diiring, dikumpulkan berbaris-baris menjadi 12 barisan, masing-masing dengan pembawaan mereka sendiri.."

Maka dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W. 12 barisan tersebut:

BARISAN PERTAMA
Diiringi dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka ini dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih, "Mereka itu adalah orang-orang yang sewaktu hidupnya menyakiti hati tetangganya, maka demikianlah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

BARISAN KEDUA
Diiringi dari kubur berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih, "Mereka itu adalah orang-orang yang diwaktu hidupnya meringan-ringankan solat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

BARISAN KETIGA
Mereka berbentuk keldai, sedangkan di dalam perut mereka penuh berisi ular dan kala jengking. "Mereka itu adalah orang-orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

BARISAN KEEMPAT
Diiringi dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka. "Mereka itu adalah orang yang berdusta didalam jual beli, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

BARISAN KELIMA
Diiringi dari kubur dengan bau yang lebih busuk daripada bangkai. Ketika itu Allah S.W.T. menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar. "Mereka itu adalah orang-orang yang menyembunyikan perlakuan durhaka, takut diketahui oleh manusia tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah S.W.T., maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

BARISAN KEENAM
Diiringi dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan. "Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu,  maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

BARISAN KETUJUH
Diiringi dari kubur tanpa mempunyai lidah, tetapi dari mulut mereka mengalir keluar darah dan nanah. "Mereka itu adalah orang yang enggan memberi kesaksian di atas kebenaran, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

BARISAN KELAPAN
Diiringi dari kubur dengan keadaan terbalik, kepala ke bawah dan kaki ke atas. "Mereka ini adalah orang yang berbuat zina, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

BARISAN KESEMBILAN
Diiringi dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan mata berwarna biru, sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh. "Mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara yang tidak sebenarnya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

BARISAN KESEPULUH
Diiringi dari kubur dengan keadaan tubuh mereka penuh dengan penyakit sopak dan kusta. "Mereka adalah orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

BARISAN KESEBELAS
Diiringi dari kubur mereka dengan keadaan buta mata-kepala, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terjulur memanjang sampai keperut mereka dan keluar beraneka kotoran. "Mereka adalah orang yang minum arak, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

BARISAN KEDUABELAS
Mereka diiring dari kubur dengan wajah yang berseri-seri laksana cahaya bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan, "Mereka adalah orang yang beramal soleh dan banyak berbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah S.W.T. Yang Maha Pengasih.."

24/01/2013

Khutbah Terakhir Rasulullah S.A.W.

Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah, tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah :

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan telili kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal saleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lagi agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah AL-QURAN dan SUNNAHKU.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU." 


Bacalah surah ini sekalipun pendek


Daripada Abu Sa'id al-Khudri r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda tentang Surah Al-Ikhlas. "Demi Allah yang jiwaku ada di dalam tanganNya, sesungguhnya ia adalah menyamai sepertiga Al-Quran"
~Sahih Bukhari~

Dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. bersabda kepada para sahabatnya, "Apakah salah seorang kamu tidak mampu membaca sepertiga Al-Quran dalam sehari semalam?" Ternyata ia memberatkan mereka. Mereka berkata,"Mana mungkin ada antara kami yang mengerjakannya wahai Rasulullah." Baginda bersabda,"Qulhuwallahuahad adalah sepertiga dari Al-Quran."
~Riwayat Bukhari~