Dengan nama Mu Ya Allah, tuhan yang mengikat hati manusia dengan kasih sayang... Hanya kebaikan yang kami dambakan di setiap celahan ketetapan yang telah Engkau rencanakan... Engkau Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi kami.... serta bagi insan-insan disekeliling kami... Semoga kebaikan dan keberkatan dari rencanaMu menyebar dan dirasai setiap jiwa-jiwa yang beriman... Permudahkanlah jalan kami dalam melusuri setiap rencana yang kau tetapkan Ya Allah......

Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari lemah kemahuan dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat penakut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia

30/01/2013

Hanya Mendengar

Percayalah, kekadang manusia hanya ingin 'didengar' bukan penyelesaian. Kerana dengan didengar, manusia merasa dihargai, disayangi dan dihormati. Jika kita ingin dicintai, cukuplah dengan menjadi pendengar. Tidak perlu melakukan apa-apa, cuma dengar...

Pelbagai kesilapan dan kesalahan akan ditempuh dalam hidup akibat tidak mendengar. Kita menyangka dengan kata-kata kita boleh meraih kemesraan. Rupa-rupanya tidak. Kita akan lebih dicintai, jika menjadi pendengar.

Alangkah indahnya jika kita punya masa dan sedia meluangkan masa untuk menjadi pendengar. Kehausan untuk mendengar adalah tanda kita kekurangan kasih sayang dan cinta. Manusia tercari-cari siapa yang sudi menjadi pendengar untuk diluahkan segala dan semua. Sebenarnya mereka bukan inginkan penyelesaian tetapi hanya inginkan penghargaan dan kasih sayang. Ianya dirasai apabila merasa diri didengar.

Bertekadlah untuk menjadi pendengar. Ketaplah mulut dan bukakan hati dan telinga untuk mendengar. Insya Allah kasih sayang akan bertaut dan berbunga kembali. Jangan biarkan isteri, suami, anak, ibu bapa, pelajar, pekerja, pesakit dan pengikut kita ternanti-nanti... mulakan tugas cinta yang pertama: Hanya mendengar.

Manusia memerlukan didengar kata-katanya sama seperti dia memerlukan makanan. Tanpa makanan akan lemahlah jasad, sakitlah badan. Tanpa didengar akan tumpullah perasaan dan lumpuhlah emosi. Manusia yang membesar tanpa diberi hak didengar akan menjadi manusia yang kurang cerdas emosinya apabila dewasa kelak. Dia akan gagal mengurus perasaan marah, kecewa, takut dan dendamnya. Orang yang begini, akan gagal dalam hidupnya.

Orang yang banyak mendengar, akan banyak belajar dalam hidup ini. Orang yang banyak mendengar bukan sahaja banyak pengetahuan tetapi juga akan banyak kawan dalam masyarakat. Mungkin sebab itu Allah ciptakan kita dua telinga satu mulut sebagai simbolik, kurangkan berkata-kata tetapi banyakkan mendengar. Malangnya, kebanyakkan manusia lebih suka 'memperdengarkan' daripada mendengar cakap orang lain.

Lidah selalu menyebabkan telinga menjadi tuli. Dalam pergaulan, kita selalu sahaja ingin memonopoli perbualan. Kononnya dengan banyak bercakap kita akan terlihat lebih pandai dan bijak berbanding orang yang diam. Kebanyakkan kita menyangka orang yang diam itu bodoh. Tidak ada idea dan pendek wawasan. Sedangkan diam itulah terpuji dan bermanafaat.

Cuba lihat orang di sekeliling kita dan lihat kita sendiri. Apakah kita lebih banyak mendengar daripada berkata-kata? Kerap kali kita ingin jadi jaguh dan wira yang tidak henti-henti berkokok dimana-mana. Bila bercakap kita seolah-olah serba tahu. Kita mengetuai perbualan, kita menjuarai percakapan. Mengapa?

Sering berlaku pangkat, harta, nama serta jawatan menyebabkan seseorang tidak sudi lagi menjadi pendengar. Pangkatku lebih tinggi, aku cakap kau dengar. Namaku lebih tersohor, jangan cuba mencelah bila aku berbicara. Kau tidak layak menasihati aku, ilmuku lebih tinggi. Begitulah yang kerap kita lihat dalam kehidupan. Bukan orang lain tetapi kita sendiri.

Apakah dengan mendengar kita jadi miskin, hina dan tidak ternama? Jika itulah anggapan kita, jelas kita telah tersalah. Menjadi pendengar, menjadikan kita orang yang tawaduk (rendah diri). Orang yang tawaduk akan ditinggikan darjatnya oleh Allah. Orang yang mendengar akan lebih banyak belajar daripada orang yang berkata-kata. Semakin banyak kita belajar semakin banyak ilmu yang kita perolehi. Dan bila semakin banyak ilmu yang kita miliki, maka semakin tinggilah darjat kita disisi Allah dan manusia.

Allah yang Maha Mencipta juga bersifat Maha Mendengar - As-Sami. Allah Maha Mendengar rintihan, aduan, kebimbangan, luahan rasa daripada hamba-hambaNya setiap masa, tempat dan ketika. Allah bersedia mendengar berulang kali dan bila-bila masa sahaja. Bahkan Allah mampu mendengar seluruh pengaduan hambaNya pada satu masa.

Seorang pesakit datang merintih kerana penyakitnya.... Allah mendengar. Seorang isteri mengadu hal rumah tangga..... Allah mendengar. Seorang menteri mengadu hal negara...... Allah mendengar. Apapun dan dari sesiapapun , Allah tetap mendengar. Pintalah hal sekecil-kecil dan pintalah hal yang sebesar-besarnya. Allah tetap sudi mendengar. Daripada rintihan seorang pengemis yang merayu untuk mendapatkan sesuap nasi hinggalah munajat seorang soleh untuk mendapat syurga Allah, Allah tetep sudi mendengar. Maha Mendengar!

Sebaliknya, manusia terlalu ego dan berat sebelah. Jika yang bercakap itu tinggi pangkatnya, maka orang bawahan terpaku membisu. Bila si miskin mengadu, ramai yang tidak ambil tahu. Lihatlah Muhammad s.a.w. Baginda seorang yang sentiasa memberi hak mendengar kepada sahabat, isteri dan pengikut-pengikutnya. Walaupun, baginda “orang besar” yang memimpin negara, tetapi masih sempat mendengar rintihan anak kecil yang terbiar di tepi jalan di satu pagi Hari Raya.
Anda tidak perlu banyak cakap untuk disenangi dan disayangi, cukup dengan menjadi pendengar. Lihat mata orang yang bercakap, buka telinga dan hati, dengarlah dengan penuh simpati dan empati… nescaya orang akan jatuh hati.

Bila anak-anak menghampiri kita, pegang tangannya dan ucapkan, apa yang kamu ingin katakan? Ayah atau ibu sudi dan sedia mendengarnya. Jika pekerja bawahan menziarahi atau datang di muka pintu rumah atau bilik anda lalu memberi salam, jawab salamnya dan bawa dia dekat dan dengar luahan katanya.

Dengarlah bisikan orang di sekeliling kita. Insya-Allah, kita tidak akan terpaksa mendengar jeritan. Berapa banyak bisikan yang dibiarkan yang akhirnya bertukar menjadi jeritan yang memeritkan. Isteri ingin mengadu, suami menjauh. Anak hendak bercakap, ibu-bapa membentak menyuruh diam. Pekerja ingin berbincang, dituduh ingin mogok.

Rakyat ingin memberitahu, kononnya pemimpin serba tahu…Terlalu banyak bisikan yang dipinggirkan dan disisihkan. Akhirnya, bisikan menjadi jeritan. Anak derhaka, isteri nusyuz, diceraikan suami, pekerja lari, rakyat berpaling tadah… Semuanya gara-gara dan angkara sikap mendengar yang semakin terhakis dalam kehidupan dan pergaulan.
 

No comments:

Post a Comment