Dengan nama Mu Ya Allah, tuhan yang mengikat hati manusia dengan kasih sayang... Hanya kebaikan yang kami dambakan di setiap celahan ketetapan yang telah Engkau rencanakan... Engkau Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi kami.... serta bagi insan-insan disekeliling kami... Semoga kebaikan dan keberkatan dari rencanaMu menyebar dan dirasai setiap jiwa-jiwa yang beriman... Permudahkanlah jalan kami dalam melusuri setiap rencana yang kau tetapkan Ya Allah......

Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari lemah kemahuan dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat penakut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia

21/01/2013

Kerana Dia Suka Aku Menangis

Terima kasih kepada penyumbang yang sudi berkongsi pengalaman ini, semoga ianya dapat memberi kebaikkan kepada kita semua. Insya Allah.

Beberapa tahun yang lepas, aku ditimpakan dengan satu ujian yang hebat. Terlalu hebat.
Aku marah. Aku bengang. Aku memberontak.
Aku menangis tidak puas hati. Aku rasakan Dia tidak adil! Aku mempersoalkan kenapa Dia buat aku macam ni? Apa salah aku sampai aku ditimpakan ujian sebesar ini?
Sejak dari kecil, aku dibesarkan dalam keadaan serba sederhana. Orang lain hidup mewah, aku hidup kais pagi makan pagi. Aku diasuh supaya sentiasa memandang orang yang di bawah, sentiasa bersyukur dengan pemberianNya.
Tetapi kali ini aku terus mempersoalkan. Kenapa orang lain hidup bahagia, tanpa sebarang masalah. Kenapa orang lain tidak perlu bekerja keras untuk mencari sesuap nasi? Kenapa orang itu mendapat rezeki yang melimpah ruah? Kenapa aku yang masih muda perlu hidup susah? Sungguh tak adil.
Aku marah dengan Dia. Aku benggang dengan Allah s.w.t., aku memberontak.
Aku buat segala macam kamungkaran. Bagiku apa guna Iman kalau tidak mampu menyelesaikan segala masalahku ini? Selama ini aku taat dengan perintahNya, Dia timpakan pula aku dengan masalah sebesar ini. Sungguh kejam dan tidak adil.
Semua perkara yang wajib aku biarkan. Solat? Cukup syarat saja. Apa yang aku tahu, marah aku tidak hilang. Perasaan tidak puas hati aku membuak-buak, semakin lama semakin besar. Aku makin jauh hanyut dan terus lalai. Seakan-akan tidak lagi percaya dengan ketentuanNya.
Perkara sunat? Jauh sekali. Doa? Huh! tidak ada lagi walaupun sedikit keyakinan. Tidak lagi wujud pergantungan kepadaNya. Aku seperti tidak ada kepercayaan. Hilang haluan.
Sedikit demi sedikit nikmat aku ditarik. Aku buat tak endah. Aku dah biasa susah. Bukannya akan merubah apa-apa. Hati aku terus memberontak. Masih mempersoalkan kehendakNya. Terus dalam kekhilafan. Terus kufur. Aku lalai.
Bila tiba Ramadhan, aku berpuasa, seperti orang lain. Aku bersolat seperti orang lain. Perbuatan aku lebih kepada mengikut orang dan bukannya mengikut suruhan Allah.
Sehingga pada satu hari, selepas solat Zohor aku tertidur di masjid. Memang kepenatan yang teramat. Tanpa niat Iktikaf, aku layankan mata dan baring di satu sudut masjid. Itulah detik yang merubah hidup aku dan pandangan aku terhadapNya. MIMPI!
Dalam tidur selama dua jam itu aku melalui flashback hidup aku. Antaranya:
Suatu petang di surau sekolah menengah, aku sedang membaca Al-Quran. Mataku berkaca, hatiku sebak.
Suatu malam di dorm asrama sekolahku. Aku sedang bersolat hajat, aku sedang menangis, berjujuran air mata, bergetar seluruh badan. Seterusnya airmata ibu bapaku yang gembira dengan keputusan cemerlang peperiksaan PMR ku.
Suatu malam di surau sekolah asrama penuhku, aku sedang berdoa. Aku sujud dengan linangan airmata, aku menangis teresak-esak. Seterusnya airmata ibu bapaku yang gembira dengan keputusan SPM ku yang cemerlang.
Tiba-tiba aku tersentak, tersedar apabila mendengar azan Asar berkumandang. SUBHANALLAH !!!. Lalainya aku.
Aku terus sebak, dengan mata yang berkaca, mengambil wuduk penuh longlai.
Malam itu aku bangun untuk Qiamullail. Buat pertama kali selepas dua tahun. Malam itu juga aku minta keampunan daripada Allah dengan bersungguh-sungguh. Aku tekup muka dengan tangan, aku segan dan malu dengan Allah. Setelah semua nikmat diberikan oleh Allah, aku sanggup pula berpaling daripadaNya. Aku mempersoal kehendakNya. Aku lupa di mana tempat aku yang sebenar.
Aku bersyukur dengan sebenar-benar syukur dengan ujian yang telah Allah timpakan. Rupa-rupanya Allah bukan berlaku tidak adil, Allah bukannya menurunkan ujian ini untuk menghukum aku. Tetapi Allah sayangkan aku.
Lalu pertama kalinya selepas dua tahun, air mataku mengalir keranaNya. Aku rasakan aku tidak lagi layak untuk tinggal di bumi Allah, aku tidak layak untuk meminta apa-apa daripada Allah. Kerana terlalu banyak sangkaan burukku kepada Allah. Aku segan, aku malu, aku cuma tunduk memandang sejadah.
Aku diberikan kejayaan, keluarga yang bahagia, sahabat-sahabat yang baik. Apa lagi yang aku mahukan daripada Allah s.w.t? Apa lagi yang aku tidak puas hati? Sememangnya aku ini hamba yang tidak tahu malu, tak sedar diuntung. Lagi mahu memberontak dan mempersoalkan setiap ujianNya.
Jadi, mengapa ujian itu datang? Mengapa ujian itu diturunkan?
YA!!! KERANA ALLAH SAYANGKAN AKU!!!
Kerana Dia suka aku menangis, menangis kerana takut kepadaNya. Menangis kerana rindu akan RasulNya. Seperti dulu.
Ya, aku rindukan waktu aku mengingatiNya dulu. Waktu itu hidup aku seakan-akan sempurna, walaupun susah, aku puas. Tetapi, sekarang aku kekosongan dan kini aku sedar dimana silapnya aku. Ingatlah! Muslim yang beruntung adalah mereka yang mengingati Allah pada waktu mereka susah, tetapi lebih beruntung mereka yang mengingati Allah pada waktu senangnya. Siapalah kita hendak mempersoalkan kehendak Allah s.w.t. Sesungguhnya Dia lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya.
Kini, hatiku tenang. Walaupun masalah aku berpanjangan, tetapi hati aku puas. Aku masih tersenyum dan berkata, " Alhamdulillah". Aku mampu faham dan merasai maksud kasih sayang Allah s.w.t. dalam erti kata yang sebenar.
Syukur Ya Allah!!! syukur, Kau masih sayangkan aku.
Kerana itu, Dia suka aku menangis.....




No comments:

Post a Comment