Anak anak ku
ingatlah hidup ini tidak seindah yang engkau gambarkan tidak setenang yang engkau lukiskan tidak semudah yang engkau sangkakan
Anak anak ku
ketika engkau kecil segala kemahuan mu cuba ibu kabulkan yang tiada ibu adakan yang koyak ibu tampalkan yang rosak ibu cantikkan yang usang ibu warnakan yang hitam ibu putihkan yang keruh ibu jernihkan yang kotor ibu bersihkan
Anak anak ku
jika engkau telah dewasa ilmu itu penyuluh dunia tuntutlah ia walau di mana
hanya satu yang ibu pinta yang baik jadikan tauladan yang buruk jadikan sempadan penuhkan didada ilmu akhirat Insya Allah ilmu dunia pasti kan ada
Anak anak ku
ingatlah hidup biar berpada gembira ada perenggan pergaulan ada batasan bergurau ada sempadan jangan sampai ada yang terasa akibatnya amat derita
Anak anak ku
jangan jadi lalat yang hanya memandang tempat yang kotor dan busuk walaupun masih banyak tempat yang bersih dan wangi jadilah seperti lebah yang sentiasa mencari dan hinggap di tempat yang cantik dan harum
Anak anak ku
ingatlah yang penting bukan apa yang kita pandang tetapi bagaimana cara kita memandang jangan jadikan ujian hidup penghalang untuk terus bersyukur
Anak anak ku
kelebihan pastinya mengatasi kekurangan kesenangan tentunya melebihi kesukaran kerana janji Allah "Sesungguhnya pada kesukaran itu ada kelapangan" cari lah ia dengan sabar dan takwa
Anak anak ku
jika ibu telah tiada tiada belaian serta ciuman tiada leteran serta teguran usah sedih usah berduka kerana tugas mu belum terlaksana
Anak anak ku
junjunglah maruah agama bangsa dan negara kiliklah maruah keluarga bijaklah membawa diri kerana doa ibu telah tiada
Anak anak ku
engkau tidak pernah ibu lupa kerana engkau anak anak ibu tercinta
No comments:
Post a Comment