Dengan nama Mu Ya Allah, tuhan yang mengikat hati manusia dengan kasih sayang... Hanya kebaikan yang kami dambakan di setiap celahan ketetapan yang telah Engkau rencanakan... Engkau Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi kami.... serta bagi insan-insan disekeliling kami... Semoga kebaikan dan keberkatan dari rencanaMu menyebar dan dirasai setiap jiwa-jiwa yang beriman... Permudahkanlah jalan kami dalam melusuri setiap rencana yang kau tetapkan Ya Allah......

Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari lemah kemahuan dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat penakut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia

29/11/2012

Tanda-tanda kematian

100 hari sebelum kematian – Ini adalah tanda pertama dari Allah kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya. Walau bagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma sama ada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil.

40 hari sebelum kematian – Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arasy Allah. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih akan merasakan seakan-akan bingung seketika.

7 hari sebelum kematian – Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba- tiba ianya berselera untuk makan.

3 hari sebelum kematian – Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu di antara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

1 hari sebelum kematian – Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Hari kematian – Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

6 perkara Allah sembunyikan


Allah SWT selesai menciptakan Jibrail a.s dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124, 000 sayap). Setelah itu Jibrail a.s memandang dirinya sendiri dan berkata:
"Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?."
Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud.. "Tidak"

Kemudian Jibrail a.s berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah swt. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.

Setelah selesai Jibrail a.s solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu."
Kemudian Jibrail a.s berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?"

Lalu Allah berfirman yang bermaksud. "Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal..."

Kemudian Jibrail a.s meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma'waa. Setelah Jibrail a.s mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail a.s dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat jibrail a.s selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud:

"Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya? "

Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan.... .."
Marilah sama2 kita fikirkan dan berusaha lakukan... Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyembunyikan enam perkara iaitu :

* Allah S.W.T telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).
* Allah S.W.T telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.

28/11/2012

Mimpi Rasulullah S.A.W


Mimpi adalah sesuatu yang sering dialami oleh setiap manusia terutamanya di waktu sedang tidur. Adakala mimpi itu buruk dan ada pula yang baik. Apabila bermimpi sesuatu yang baik seperti sedang membaca Al-Quran,solat, disanjung orang dan seumpamanya, ucapkanlah syukur dan memuji Tuhan. Sebaliknya jika ia mengerikan dan menakutkan sehingga membuat kita keluh kesah, segeralah mengucap istighfar dan keampunan kepada Allah SWT.
Kadang-kadang mimpi itu akan menjadi kenyataan dan kadang-kadang ianya mainan tidur. Ulama-ulama dan wali Allah sering dapat melihat alam ghaib seperti suasana di dalam kubur (seksa dan nikmat) melalui mimpi. Petikan dari sebuah hadis yang telah disebut oleh Imam As Sayuthi, Al Tabrani, Al Hakim At Termizi dan Al Isfahani dalam kitab mereka yang bermaksud:
Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi yang ajaib malam kelmarin. Aku telah melihat seorang dari umatku telah didatangi oleh Malaikat Maut untuk mengambil nyawa, maka malaikat itu telah terhalang oleh ketaatannya kepada kedua ibu bapanya.

Aku melihat juga seorang dari umatku telah disediakan untuk menerima seksa kubur, maka dia telah diselamatkan oleh kesan wuduknya.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang dikerumuni oleh syaitan-syaitan, maka ia telah dibebaskan dari bahayanya oleh berkat zikrullah.
Aku melihat juga seorang dari umatku diseret oleh Malaikat Azab maka segera muncul solatnya serta melepaskannya dari azab tersebut.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang ditimpa  dahaga yang amat sangat, setiap kali ia mendatangi sesuatu perigi, dihalang untuk meminumnya, maka segera datang puasanya serta memberinya minum sehingga ia merasa puas.

Aku melihat juga seorang dari umatku yang mengunjungi kumpula para nabi, yang ketika itu duduk berkumpul-kumpul, setiap kali dia mendekati mereka, dia diusir dari situ, maka menjelmalah mandi junubnya sambil memimpinnya ke kumpulan itu seraya menunjuknya duduk di sisiku.

Aku melihat juga seorang dari umatku dikabusi oleh suasana gelap, di hadapannya gelap, di kanannya gelap, di kirinya gelap, di atasnya gelap, di bawahnya juga gelap, sedang ia dalam keadaan bingung. Maka datanglah pahala haji dan umrahnya, lalu mengeluarkan dari suasana gelap-gelita itu lalu memasukkannya ke dalam suasana terang-benderang.

Aku melihat juga seorang dari umatku berbicara kepada Mukminin, akan tetapi tidak seorang pun dari mereka yang mahu berbicara dengannya, maka menjelmalah silaturrahimnya seraya menyeru orang-orang itu, katanya: Wahai kaum Mukminin sambutlah bicaranya, lalu mereka pun berbicaralah dengannya.

Aku melihat seorang dari umatku sedang menepis-nepis bahang api dan percikannyadari mukanya, maka segera datanglah pahala sedekahnya lalu melindungi muka dan kepalanya dari bahaya api itu.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang diseret oleh Malaikat Zabaniah ke merata tempat, maka menjelmalah Amar Makruf dan Nahimunkar seraya menyelamatkannya dari cengkaman neraka serta menyerahkannya pula kepada Malaikat Rahmat.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang merangkak-rangkak, antaranya dengan Tuhan dipasang tabir, maka menjelmalah budi pekerti seraya memimpinnya sehingga dibuka pemisah tadi dan masuklah ia ke hadrat Allah Taala.

Aku melihat juga seorang dari umatku terheret ke sebelah kiri oleh buku catatannya, maka menjelmalah perasaan kasih kepada Allah menukarkan tujuan buku catatan itu ke arah kanan.

Aku melihat juga seorang dari umatku terangkat timbangannya, maka menjelmalah anak-anaknya yang mati kecil lalu menekan timbangan itu sehingga menjadi berat.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang berdiri di pinggir Jahanam, maka menjelmalah perasaan gerunnya terhadap seksa Allah Taala lalu membawa jauh dari tempat itu.

Aku melihat juga seorang dari umatku terjerumus ke dalam api neraka, maka datanglah air matanya yang mengalir kerana takut kepada Allah Taala lalu menyelamatkanya dari api neraka itu.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang meniti sirat manakala seluruh tubuhnya bergoncang seperti bergoncangnya dedaun yang ditiup angin, maka menjelmalah baik sangkanya terhadap Allah Taala lalu mententeramkan kegoncangan itu lalu dengan mudah meniti hingga ke hujung titian itu.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang meniti atas titian sirat, kadangkala ia merangkak dan kadangkala ia meniarap, maka menjelmalah solat menyeru kepadaku lalu aku memimpin tangannya dan mengajaknya berdiri dan meniti hingga ke penghujung titian itu.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang hampir tiba di pintu syurga, tiba-tiba pintu-pintunya ditutup, maka menjelmalah penyaksiannya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah lalu membukakan pintu-pintu syurga itu untuknya sehingga ia boleh memasukinya.
Aku melihat ada ramai orang yang digunting-gunting lidahnya, maka aku bertanya kepada Jibril siapakah mereka itu, maka Jibril menjawab: Mereka itulah orang-orang yang suka 'membawa mulut' ke sana ke mari.

Aku melihat juga orang-orang yang digantung dengan lidah-lidah mereka, maka aku bertanya Jibril siapakah mereka itu, maka Jibril menjawab: Mereka itulah orang-orang yang melempar tuduhan terhadap kaum Mukminin dan Mukminat dengan tuduhan tanpa bukti dan palsu.

27/11/2012

Wajah bercahaya jika berselawat

Pada suatu hari, Abul Laits As Samarqandi sedang dalam perjalanan bermusafir bersama-sama ayahnya. Tiba-tiba dengan takdir Allah, ayahnya jatuh sakit. Semakin hari sakit ayahnya semakin melarat sehingga meninggal dunia. Tinggallah Abul Laits sendirian untuk meneruskan perjalanannya. Dia menunggu-nunggu jika muncul rombongan kafilah untuk meminta pertolongan menguruskan jenazah ayahnya itu.

Ketika menunggu, dia terlihat jenazah ayahnya bertukar menjadi hitam pekat. Dia tertanya-tanya mengapa wajah ayahnya berubah. Abul Lait kemudian tertidur kerana terlalu keletihan. Ketika itulah dia bermimpi seorang pemuda yang bercahaya wajahnya.

"Siapakah saudara?" Tanya Abul Laits. "Saya ialah Muhamad bin Abdullah." Mengertilah Abul Laits yang hadir dalam mimpinya itu ialah Rasulullah SAW. Hatinya sungguh gembira."Ya Rasulullah, apakah maksud dan tujuan kedatangan tuan ini?" "Saya datang kerana hendak menziarahi jenazah ayahandamu."

Setelah diizinkan, Rasulullah pun membuka kain yang menutupi mayat ayah Abul Laits. Baginda kemudian berdoa kepada Allah SWT. Ketika itu juga Abul Lait melihat wajah ayahnya yang gelap tadi telah bertukar menjadi bercahaya. "Wahai Rasulullah, apakah yang menyebabkan wajah ayahku menjadi hitam?"

"Ayahmu semasa hidup telah berbuat dosa dalam keadaan orang lain tidak mengetahuinya.
Tetapi pada waktu malam ketika orang lain sedang nyenyak tidur, dia telah bangun dan merintih kepada Allah. Dia mengadu kepada Allah akan hal dirinya yang sering berbuat dosa kerana tidak mampu melawan hawa nafsunya. Ayahmu juga sentiasa basah lidahnya dengan berselawat untuk saya. Oleh sebab itu, pada hari kematiannya Allah memerintahkan saya untuk menziarahi mayatnya."

Manusia memang selalu berbuat kesalahan kerana tidak mampu melawan hawa nafsu. Namun begitu, apa yang penting ialah kesedaran dan keinsafan perlu sentiasa ada dalam diri kita. Kemudian kita bersungguh-sungguh mengadu dan memohon keampunan terhadap dosa-dosa yang dilakukan. Semoga dengan rahmat Allah yang maha luas itu,Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita.

Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa orang yang sentiasa bertaubat daripada dosa samalah seperti orang yang tiada dosa. Namun begitu, bertaubat hendaklah dengan sebenar-benarnya daripada hati yang tidak ingin lagi mengulangi dosa-dosa yang pernah dilakukan.

Terdapat banyak kelebihan berselawat antaranya Rasulullah SAW pernah bersabda: "Orang yang paling utama bagiku di hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat untukku.
Barangsiapa yang membaca selawat 100 kali untukku pada hari Jumaat, kelak pada hari kiamat dia datang dengan wajah bersinar-sinar. Sekiranya sinar itu dibahagi-bahagikan kepada semua makhluk, nescaya mencukupi."

Syaitan Ke Masjid?

Seorang lelaki muda bangun diawal pagi untuk solat subuh di masjid. Dia berpakaian, berwuduk dan berjalan menuju ke masjid. Di tengah jalan lelaki itu jatuh dan pakaiannya kotor. Dia bangkit dan membersihkan bajunya, dan pulang ke rumah.
Di rumah dia berganti baju, berwuduk dan berjalan menuju ke masjid. Dalam perjalanan ke masjid, dia terjatuh lagi di tempat yang sama. Dia sekali lagi bangkit membersihkan dirinya dan kembali ke rumah. Di rumah dia sekali lagi berganti baju, berwuduk dan berjalan lagi menuju ke masjid.
Di tengah jalan menuju ke masjid, dia bertemu seorang lelaki yang memegang lampu. Dia menyapa lalu lelaki itu menjawab “ saya melihat kamu jatuh 2 kali di dalam perjalanan menuju masjid, jadi saya bawakan lampu untuk menerangi jalan kamu”. Lelaki muda itu mengucapkan terima kasih dan mereka berdua berjalan ke masjid.
Sampai di masjid, lelaki muda itu mengajak teman barunya yang membawa lampu untuk masuk bersolat subuh bersamanya. Lelaki tadi menolak. Berkali-kali diajak tetapi jawapannya sama.
Lelaki muda bertanya “kenapa menolak untuk masuk bersolat”. Lelaki pembawa lampu menjawab :
Aku adalah syaitan!
Lelaki muda itu sungguh terkejut…!
Syaitan menjelaskan,”aku melihat kamu ke masjid dan akulah yang membuat kamu terjatuh. Ketika kamu pulang ke rumah, membersihkan badan dan kembali ke masjid, Allah mengampunkan semua dosamu. Aku membuat engkau jatuh kali kedua, dan itupun tidak membuatmu merubah fikiran tetapi tetap kembali ke masjid.
Kerana itu Allah mengampunkan dosa seluruh keluargamu. Aku KHUATIR jika aku membuatmu jatuh ketiga kali, mungkin Allah akan mengampunkan dosa seluruh penduduk desamu, jadi aku harus memastikan bahawa kamu sampai di masjid dengan selamat.”
Oleh itu janganlah sesekali mengabaikan sesuatu niat baik yang kita mahu lakukan, kerana kita tidak pernah tahu ganjaran yang bakal kita perolehi dari segala kesulitan yang kita hadapi demi melaksanakan niat baik tersebut.

20/11/2012

Jangan Takut

"Jangan takut jatuh, kerana yang yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh.
Jangan takut gagal, kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah.
Jangan takut salah, kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua." ~ Hamka



19/11/2012

Itulah …

Satu hari semua penduduk di sebuah kampung sepakat akan berdoa bersama memohon hujan. Pada hari semua orang berkumpul untuk doa, ada seorang anak laki-laki yang membawa payung. Itulah IMAN.

Belajar daripada seorang bayi yang berusia 1 tahun. Ketika kita melemparkannya ke udara, dia tertawa kerana dia tahu kita akan menangkapnya. Itulah KEPERCAYAAN.

Setiap malam kita tidur, kita tidak yakin bahawa kita masih hidup esok hari, tapi kita masih mempunyai perancangan untuk hari esok. Itulah HARAPAN.

Saat di meja tinggal 2 potong kuih. Kita mengambil potongan yang lebih kecil, dan membiarkan ayah/ibu/suami/isteri/anak kita mengambil potongan yang lebih besar. Itulah CINTA YANG TULUS IKHLAS.

Saat di rumah selimut A sedang dicuci 1 selimut B yang kering, dan kita membiarkan ayah/ibu/suami/isteri/anak kita memakai selimut itu. Itulah PENGORBANAN.

Ketika ayah/ibu/suami/isteri/anak kita tidak boleh tidur, dan kita berada di sampingnya, berbincang pengalaman hari ini, cerita-cerita lucu, kisah-kisah inspirasi, tertawa bersama, mengucap syukur dan berdoa. Itulah KEBERSAMAAN.

Ketika stok telur tinggal 1 biji, dan kita berdua ingin makan bersama. Lalu kita membuat telur dadar, dari 1 biji telur itu kita tambah tepung tambah sayur dan rencah-rencah yang lain secukupnya. Itulah KREATIVITI.






18/11/2012

Sunnah Allah, Rasul dan wali-Nya

Siapa yang tidak ada padanya sunnah Allah, sunnah Rasul dan sunnah wali-Nya, maka tiadalah apa-apa kebaikan padanya.
Ditanya orang pada Saidina Ali, “Apakah sunnah Allah?”
Saidina Ali menjawab, “Menyembunyikan rahsia (misalnya menutup aib orang lain).”
Ditanya lagi, “Apakah pula sunnah Rasulullah?”
Saidina Ali berkata, “Berlemah lembut dengan sesama manusia.”
Ditanya lagi, “Apakah pula sunnah wali-Nya?”
Saidina Ali menjawab, "Sabar dalam menanggung penderitaan." ~ Ali bin Abu Thalib

CINTA


"Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanahnyalah yang berlain-lainan menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong dan lain-lain perkara yang tercela. Tetapi jika ia jatuh kepada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesuciaan hati, keikhlasan, setia budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji.
Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat."  ~ Hamka


Kisah Benar - Lesen P

Seorang pak cik tua yang baru saja lulus lesen menunggang motosikal. Mengikut undang-undang stiker huruf 'P' hendaklah ditampal bila baru dapat lesen motor.
Satu hari pak cik tu tunggang motor. Adalah road block polis......
Polis : 'P' mana pakcik?
Pak cik : P Aloq Staq (loghat Kedah).
Polis : Pak cik nak bergurau pulak. 'P' mana pak cik?
Pak cik :  Aku nak p Aloq Staq (mula nak naik angin).
Polis : Amboi main-main pulak pak cik (tersengih). Pak cik, 'P' mana?
Pak cik : Aku habaq p Aloq Staq hangpa tak percaya. Apa hang ingat aku tak tau ka jalan nak pi Aloq Staq. Hangpa jadi polis pun hangpa jangan nak perlekeh aku tau (marah).
Polis : Pi pi pi pi lah.... nyusah je.
Pak cik : kan mudah camtu
sumber : emel



15/11/2012

Renungan

“Keadaan hamba ini hanya ada empat macam: Nikmat, bala, taat dan maksiat. Maka jika berada di dalam nikmat, kewajipan hamba adalah bersyukur kepada Allah dan jika menerima bala harus sabar. Dan jika dapat melakukan ketaatan harus merasa mendapat taufik hidayah dari Allah. Dan bila tergelincir dalam dosa maksiat, maka harus membaca istighfar dan bertaubat.”
 ~ Abu Abbas Al-Masri

Penggemar Mee Segera, tolong baca.....

Kepada penggemar makanan jenis mee segera (tak kiralah maggi, koayteow, dsb), pastikan berhenti makan dulu sekurang-kurangnya 3 hari selepas mengambil mee segera sebelum mengambil paket yang seterusnya. Maklumat yang dikongsi bersama dengan seorang doktor.
Makanan ini mempunyai salutan wax. Inilah yang menyebabkan mee segera tidak melekat antara satu sama lain apabila dimasak. Beberapa tahun lalu, seorang aktor dari SBC (sekarang ni dikenali sebagai TCS), disebabkan terlalu sibuk dengan kariernya beliau tidak sempat untuk memasak, oleh itu jalan mudah ialah mengambil mee segera setiap hari. Kemudiannya beliau disahkan menghidap barah. Barahnya disebabkan wax dalam mee segera. Doktor juga memberitahu yang badan manusia memerlukan 2 hari untuk membersihkan wax dari sistem badan.
Seorang lagi mangsa yang serupa ialah Pramugara dari SIA yang mana setelah berpindah dari rumah ibunya ke rumahnya sendiri, Dia tidak memasak tetapi kerap makan mee segera. Dia didapati menghidap barah dan mati selepas itu. Sekarang ini tindakan memakan mee segera bolehlah diistilahkan sebagai ‘makan untuk mendapat barah’.

14/11/2012

Puisi Rabi'ah Al Adawiyah


“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.”
“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”


Batu Berbentuk Kapal

Subhanallah...... Allahu Akbar !  Allahu Akbar !  Allahu Akbar !


Iktibar dari sebiji tembikai

Pada suatu hari, seorang ahli sufi yang masyhur bernama Syaqiq Al-Balkhir telah membeli sebiji tembikai.
Kemudian dia membawa tembikai itu pulang dan diberikan kepada isterinya.
Apabila isterinya membelah tembikai itu untuk dimakan, ternyata buah tembikai itu tidak elok, maka marah-marahlah isteri Syaqiq dengan keadaan tersebut.

Maka bertanyalah Syaqiq kepada isterinya:
“Kepada siapa engkau tujukan marahmu itu, adakah kepada penjual, pembeli, penanam atau Pencipta buah tembikai itu?.”

Terdiam isterinya mendengar pertanyaan tersebut.

Kemudian Syaqiq teruskan lagi kata-katanya:
“Adapun si penjual, sudah tentu mahu jualannya terdiri daripada barangan yang terbaik. Adapun si pembeli juga sudah tentu mahu membeli barang yang terbaik juga. Bahkan si penanam juga sudah tentu berharap hasil tanamannya yang terbaik juga.

Maka ternyatalah marahmu ini engkau tujukan kepada Pencipta buah tembikai ini. Maka bertaqwalah engkau kepada Allah dan redhalah dengan segala ketentuan Nya.”

Maka menangislah isteri Syaqiq. Lalu bertaubat dan iapun redhalah dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Waalahu’Alam

13/11/2012

Salam Awal Muharram

Abu Hurairah r.a berkata ; 

" Setiap kali datangnya tahun baru membuat aku risau dan resah
kerana:
 semakin singkat umurku
 semakin dekatnya ajalku
 semakin tipisnya waktu pengampunan Allah terhadapku
 semakin dekatnya hari penghitunganku... "

11/11/2012

Tok Wan, di hati...

Semalam, aku merindui dirimu
Hari ini, aku masih merindui dirimu
Hari esok, aku akan tetap merindui dirimu

Semoga di Jannah kita kan bertemu.... Amin Ya Rabb.


Cuci Mata... Buka Hati dan Minda

 
  







Menanti Di Alam Barzakh

ku merintih... aku menangis... ku meratap... aku mengharap....
ku meminta... dihidupkan semula.. agar dapat kembali.. ke dunia nyata...
pejalan wukuf melengkapi semua kembara.. singgah di rahim bonda..
sebelum menjejak kedunia.. menanti.. di barzakh ..sebelum berangkat ke mashyar....

diperhitung amalan.. syurga atau sebaliknya....
tanah yang basah... berwarna merah... semerah mawar dan juga rimbun
tujuh langkah pun baru berlalu.. seusai talkin bernada syahdu..
tenang dan damai dipusara ku nisan batu menjadi tugu..
namun tak siapa pun tahu resah penantian ku...

terbangkitnya aku dari sebuah kematian... seakan ku dengari.. tangis mereka yang ku tinggalkan...
kehidupan disini... bukan satu khayalan... tetapi ia sebenar kejadian...
kehidupan disini... bukan satu khayalan... tetapi ia sebenar kejadian...

kembali oh kembali kembalilah ke dalam diri..
sendirian sendiri sendiri berteman kan sepi...
hanya.. kain putih.. yang membalut.. di tubuh ku..
terbujur.. dan kaku jasad didalam.. keranda kayu...

ajal yang datang dimuka pintu.. tiada siapa yang memberi tahu...
tiada siapa pun. dapat hindari tiada siapayang terkecuali..
lemah jemari nafas terhenti.. tidak tergambar sakitnya mati....
cukup sekali tak sanggup untuk ku mengulangi....

jantung.. berdegup kencang... menantikan.. malaikat datang...

menggigil.. ketakutan gelap pekat.. dipandangan...
selama... ini diceritakan kini aku merasa.. kan
di alam barzakh dikebumikan...

selama ini diceritakan kini aku merasa... kan
di alam barzakh dikebumikan....
ku merintih... aku menangis... ku meratap... aku mengharap....
ku meminta... dihidupkan semula.. agar dapat kembali ke dunia nyata...
Lagu kumpulan nasyid FAR EAST

07/11/2012

Rasulullah SAW dengan sebiji limau

     Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya.Siapa yang melihat pasti terliur.
     Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu.
     Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan,
      "Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengerutkan muka atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya."
     Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula.
     Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya di'tewas'kan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.

06/11/2012

Dunia Tempat Berpenat, Di Akhirat Nanti Kita Berehat

Jangan mencari keadilan yang mutlak di dunia ini. Terimalah hidup seadanya. Jadilah diri sendiri. Kita ubah yang mampu diubah, yang tidak mampu serahkan kepada Allah. Jika bahagia yang dicari, tetapi derita yang diberi… terimalah. Bahagialah dengan derita itu.
Manusia akan tersiksa oleh jangkaan dan harapannya. Allah ciptakan putaran hidup ini seumpama kitaran cuaca dan musim. Ada yang menikmati empat musim seperti Eropah. Ada yang kontang sepanjang masa umpama Sahara. Ada yang dingin memanjang seperti di  Antartika. Kita hamba… setelah berusaha sehabis daya, pasrah dan menyerahlah. Carilah R&R dalam kembara hidup ini, di sanalah tempat kita berehat seketika… sebelum berehat selama-lamanya! 
Jika ditakdirkan tidak kita temui sesuatu yang dicari di dunia ini, terimalah hakikat ia memang tidak ada. Di akhirat sana tempat ‘ada’ dan sempurna segala. Jika ‘langit’ hendak runtuh, masakan jari yang kecil ini mampu menahannya. Dalam setiap yang kita miliki, pasti ada jemu dan letihnya. Dalam setiap yang kita tidak miliki, pasti ada kesal dan sayunya. Jangan terlalu dalam segalanya. Jangan terlalu cinta, jangan terlalu benci. Jangan terlalu suka, jangan terlalu duka. Sederhana itulah yang selalu menyelamaktkan ‘hati’ kita.   
Tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini. Semakin kita terima hakikat ini, hidup kita akan menjadi semakin tenang. Jika tidak, kita akan sentiasa rasa arah, kecewa, dipersenda dan ditipu oleh manusia lain dan keadaan. Sebaliknya, apabila kita mula menerima hakikat dunia memang tidak adil, maka hidup kita kan menjadi lebih tenang dan harmoni.
Mengapa di dunia ini tidak ada kedailan yang mutlak? Yang baik, tidak semestinya mendapat ganjaran dan balasan yang baik. Manakala yang jahat, acap kali terlepas dan bebas? Ya, inilah kaedah Allah menguji manusia, agar terserlah siapa yang benar-benar ikhlas berbuat kepadaNya dan siapa pula yang benar-benar meninggalkan kejahatan kerana-Nya jua. Inilah ujian iman.
Menerusi pengajian tauhid, yakni dalam mengenal sifat-sifat Allah, memang kita telah sedia maklum bahawa Allah swt akan memberi dan menunjukkan sifat keadilan-Nya secara mutlak dan tuntas di akhirat nanti. Manakala, di dunia ini Allah tidak menunjukkan sifat keadilanNya secara sepenuh dan menyeluruh sebagai ujian kepada orang-orang yang beriman kepadaNya.
Lihat bagaimana nabi Zakaria AS, Nabi Yahya AS dan beberapa nabi yang lain telah dibunuh oleh musuh-musuh kebenaran. Sekiranya kita sebagai suami, isteri, ibu-bapa, anak-anak, pemimpin, pengikut… menerima layanan atau balasan yang tidak adil, biasalah. Inilah hakikat dan lumrah hidup yang mesti ditempuh. Jangan mencari yang ‘serba kena’ kerana hidup dipenuhi oleh resam yang ‘serba tidak kena’.
 Sekiranya kita berbuat baik kerana mengharapkan ganjaran, pembalasan dan ucapan terima kasih daripada manusia, tentu kita akan keewa kerana umumnya manusia memang tidak pandai berterima kasih apalagi untuk membalas budi. Memang, buat baik dibalas baik, tetapi bukan seua kebaikan dibalas di sini (dunia), ada yang Allah simpan di sana (akhirat).
Justeru, apabila Allah menyuruh manusia melakuan kebaikan atau meninggalkan kejahatan, Allah akan menyeru kepada manusia yang beriman dengan lafaz “Ya ayyuhal lazi na amanu – wahai orang yang beriman.” Begitu juga apabila Rasulullah saw menyeru untuk umatnya melakukan kebaikan, baginda sering memulakanya dengan berkata, “barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah…”
Banyak hikmahnya mengapa Allah dan RasulNya berbuat demikian, salah satunya ialah untuk menunjukkan bahawa mereka yang mahu dan mampu melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan dengan ikhlas, sabar dan istqamah hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yakni, mereka yang yakin bahawa Allah Maha melihat akan perbuatan itu dan membalasnya dengan ganjaran atau seksa yang setimpal.
Allah memujuk, Nabi Muhammad dan orang-orang beriman dengan firmanNya: “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).”
Impak daripada itu, manusia yang beriman akan menghadapi hidup ini dengan lebih tenang. Tidak banyak merungut, merengus dan marah-marah. Jika madu dibalas tuba, mereka mampu sabar dan redha. Apabila mendapat ‘limau masam’, mereka akan segera membuat ‘air limau’. Makna, sekiranya apa yang mereka terima sebagai balasan, tidak seperti yang diharapkan dan dijangkakan, mereka tidak ‘memberontak’, sebaliknya mereka mengubah hati, fikiran dan perasaan mereka untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan baik.
Apabila inginkan kejayaan, tetapi sebaliknya kegagalan yang berlaku… mereka akan berkata, “Tidak mengapa, kegagalan adalah yuran kepada kejayaan, kegagalan adalah ‘kejayaan’ yang ditangguhkan. Orang berjaya lebih banyak merasai kegagalan daripada orang yang gagal.”
Mereka tidak mengutuk orang lain, keadaan, diri mereka sendiri apalagi mempersalahan Tuhan. Mereka tidak akan menyesal dan kesal terhadap apa yang berlaku sebaliknya mencari tapak dan semangat baru untuk berusaha dengan lebih baik. Lalu dalam kamus orang berjaya sering tertera pengukuhan kata-kata ini: Kegagalan adalah peluang untuk memulakan semua dengan lebih baik!”
Orang yang telah menerima hakikat dunia ini tidak adil, tidak akan bemusuh dengan dirinya sendiri. Dia tidak mendera dirinya dengan kejam. Mengapa aku bodoh sangat? Mengapa aku lurus bendul? Mengapa aku boleh tertipu? Ini bukan langkah muhasabah yang membangunkan jiwa yang proaktif, tetapi satu ‘self sabotaging habit’ yang menyebabkan dirinya menjadi pasif, pesimis atau murung. Kemudian keburukan dari dalam diri itu akan meletus keluar menjadikan dirinya sebagai ‘toxic people’ yang bersifat aggresif, bersangka buruk dan marah-marah kepada orang lain.
Dalam surah Al Fatehah, Allah menegaskan bahawa Dialah Raja pada Hari Akhirat. Kalimat ini kita ulang-ulang baca pada setiap hari tidak kurang 17 kali. Semuga makna atau kehendak daripada kalimat ini meresap dalam minda sedar dan separa sedar kita, bahawa Allah akan menunjukkan kebesaran sifat Malik-Nya di akhirat, yang pada waktu itu tidak akan ada siapa yang berani mengangkat muka atau berkata-kata.
Di dunia ini, penjahat atau pelaku kemungkaran masih boleh mendabik dada dan meninggikan suara, kerana kuasa yang sementara. Dengan kuasa itu mereka menipu, menindas dan menzalimi dengan pelbagai taktik dan cara. Namun di akhirat nanti, mereka akan kaku, kelu dan membisu apabila Allah menunjukkan kebesaran dan keadilanNya. Di sana nanti barulah kebaikan akan mendapat ganjaran… bukan setimpal tetapi digandakan. Di sana jualah nanti kejahatan akan mendapat balasan… yang pedih, perit dan berganda.
Allah yang Maha Adil tidak mencipta dunia ini dengan serba adil untuk menguji manusia sejauh mana iman mereka kepada sifat keadilanNya! Agar dengan itu orang yang beriman rela ‘disusahkan’ kerana Allah dalam usahanya melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Agar dengan itu, orang beriman akan berkata pada hatinya, “ wahai Tuhan, aku rela menerima kesusahan yang sementara dan sedikit di dunia yang serba tidak adil ini demi mendapat kesenangan yang abadi dan lebih baik di akhirat nanti!”
Sehingga hari ini, sekiranya hati masih bertanya, “mengapa dunia ini tidak adil?” Jawabnya, “kerana Allah yang Maha Adil ingin menunjukkan keadilanNya di akhirat.” Ya, keyakinan kepada Hari akhirat sangat penting semasa hidup di dunia. Meletakkan sesuatu itu pada tempatnya, itulah erti keadilan. Hati orang beriman ialah hati yang adil. Dalam hati itu terpahat satu hakikat:  Dunia tempat penat, di akhirat tempat berehat!
Ya, hidup selepas mati adalah tempat rehat daripada kepenatan daripada ujian hidup sebelum mati. Justeru, Rasulullah saw sendiri berdoa: ” Ya Allah, jadikanlah kematian tempat istirehat daripada segala keburukan dan kejahatan…”