Seorang lelaki muda bangun diawal pagi untuk solat subuh di masjid. Dia berpakaian, berwuduk dan berjalan menuju ke masjid. Di tengah jalan lelaki itu jatuh dan pakaiannya kotor. Dia bangkit dan membersihkan bajunya, dan pulang ke rumah.
Di rumah dia berganti baju, berwuduk dan berjalan menuju ke masjid. Dalam perjalanan ke masjid, dia terjatuh lagi di tempat yang sama. Dia sekali lagi bangkit membersihkan dirinya dan kembali ke rumah. Di rumah dia sekali lagi berganti baju, berwuduk dan berjalan lagi menuju ke masjid.
Di tengah jalan menuju ke masjid, dia bertemu seorang lelaki yang memegang lampu. Dia menyapa lalu lelaki itu menjawab “ saya melihat kamu jatuh 2 kali di dalam perjalanan menuju masjid, jadi saya bawakan lampu untuk menerangi jalan kamu”. Lelaki muda itu mengucapkan terima kasih dan mereka berdua berjalan ke masjid.
Sampai di masjid, lelaki muda itu mengajak teman barunya yang membawa lampu untuk masuk bersolat subuh bersamanya. Lelaki tadi menolak. Berkali-kali diajak tetapi jawapannya sama.
Lelaki muda bertanya “kenapa menolak untuk masuk bersolat”. Lelaki pembawa lampu menjawab :
Aku adalah syaitan!
Lelaki muda itu sungguh terkejut…!
Syaitan menjelaskan,”aku melihat kamu ke masjid dan akulah yang membuat kamu terjatuh. Ketika kamu pulang ke rumah, membersihkan badan dan kembali ke masjid, Allah mengampunkan semua dosamu. Aku membuat engkau jatuh kali kedua, dan itupun tidak membuatmu merubah fikiran tetapi tetap kembali ke masjid.
Kerana itu Allah mengampunkan dosa seluruh keluargamu. Aku KHUATIR jika aku membuatmu jatuh ketiga kali, mungkin Allah akan mengampunkan dosa seluruh penduduk desamu, jadi aku harus memastikan bahawa kamu sampai di masjid dengan selamat.”
Oleh itu janganlah sesekali mengabaikan sesuatu niat baik yang kita mahu lakukan, kerana kita tidak pernah tahu ganjaran yang bakal kita perolehi dari segala kesulitan yang kita hadapi demi melaksanakan niat baik tersebut.
No comments:
Post a Comment