Kita berbicara dan mengajak khalayak tanpa jemu. Topiknya serupa. Ia perkongsian merasai nikmat Allah terhadap beberapa suruhan dan amalan yang dianjurkan oleh al-Quran dan hadis. Ia hanya ajakan. Sudi atau tidak terpulang kepada khalayak.
Di sini, saya selalu ungkapkan,
Hampir mustahil kita tidak boleh melaksanakan apa yang disarankan oleh Baginda SAW. Tidak masuk akal kita tidak mampu melaksanakan (meninggalkan) apa yang disuruh (ditegah) oleh Allah SWT. Jangan kata begitu. Boleh. Bagaimanapun, jika kita tidak mahu melakukan, itu soal lain. Ia pilihan kita sendiri.
Islam ada aturannya. Orang sakit ada caranya. Mereka yang bermusafir ada pilihannya. Orang tua juga begitu. Tertidur atau terlupa (sungguh-sungguh begitu) ada kaedahnya. Selalunya kita berdolak-dalih. Berilmu tetapi sengaja tidak mahu mengamalkannya.
Semalam kami – bersama kenalan – berkumpul di Haram (panggilan untuk Masjid Nabawi). Beliau berkata,
Akhirnya, semalam saya bangun malam dan kemudiannya berpuasa sunat hari Khamis. Sehingga ke hari ini saya merasai sesuatu yang luar biasa. Ia tidak dapat diceritakan.
Benar, banyak ilmu yang diketahui nikmatnya melalui amal. Cubalah lakukannya dengan bersungguh. Bagi manusia biasa-biasa, nikmatnya luar biasa. Percubaan pertama selalunya menjadi penghalang. Minda dibalut perasaan yang ia terlalu sukar untuk dilakukan.
Ramai yang menyebut, “saya mahu melakukannya tetapi tidak mampu istiqamah” sedangkan langkah pertama belum bermula. Istiqamah hanya muncul setelah melakukannya secara berkala.
Di sini persoalan istiqamah menarik. Solat lima waktu sehari semalam tidak perlu istilah istiqamah. Ia wajib. Jarang orang berfikir akan menyebut, “saya sukar istiqamah solat lima waktu” kerana mengetahui ia tidak sepatutnya begitu. Isu ini menjadi sebutan apabila dikaitkan dengan perkara-perkara sunat.
Istiqamah juga berperingkat. Ada mereka yang mahu (mampu) melakukannya setiap hari. Ada juga yang mahu melaksanakannya pada setiap hujung minggu. Dan seterusnya. Namun ada amalan yang sudah diatur jarak istiqamahnya. Misalnya, puasa Isnin dan Khamis, puasa Nabi Daud dan beberapa amalan yang lain.
Jika kita tidak mampu melakukannya secara berterusan, tanyalah soalan ini, “Kenapa?”. Insya Allah kita tidak akan mendapat jawapan yang boleh menyukakan hati sendiri.
Kami mohon keampunanMu ya Allah.
Oleh:MKI
No comments:
Post a Comment