Dengan nama Mu Ya Allah, tuhan yang mengikat hati manusia dengan kasih sayang... Hanya kebaikan yang kami dambakan di setiap celahan ketetapan yang telah Engkau rencanakan... Engkau Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi kami.... serta bagi insan-insan disekeliling kami... Semoga kebaikan dan keberkatan dari rencanaMu menyebar dan dirasai setiap jiwa-jiwa yang beriman... Permudahkanlah jalan kami dalam melusuri setiap rencana yang kau tetapkan Ya Allah......

Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari lemah kemahuan dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat penakut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia

28/04/2012

Pelangi Selepas Hujan

Seringkali hati kecil mengadu sakit, seringkali jiwa meratap hiba. Dugaan dan ujian yang bertimpa-timpa, kadangkala menewaskan semangat yang ada.

Kadangkala kita berasa sendirian dan terasa betapa kita dipinggirkan. Ketika kita menyangka sudah tidak ada lagi yang bernilai dalam kehidupan, dan yang kita lihat hanyalah jalan suram dihadapan.

Lantas, kita marah kepada Tuhan. Kita kecewa dengan ketentuan yang diciptakan. Kita menyalahkan takdir hitam dan saat itu sendu dan air mata mengaburkan kewarasan.

Lalu kita hilang pertimbangan, antara keimanan dan rasukan syaitan. Kita hanya nampak jalan mudah untuk melepaskan diri, lalu tidak mustahil ada yang akan memilih kematian sebagai penyelesaian.

Fikirlah...
Mengapa Tuhan hadirkan pelangi selepas hujan?
Mengapa Tuhan tumbuhkan bunga selepas kering kontang?
Mengapa tidak ada hujan yang berpanjangan atau sinar mentari yang berterusan?
Mengapa harus ada malam dan dihiasi dengan bintang?
Mengapa harus hilang sesuatu?

Jawabnya senang.

Kerana tidak ada kemanisan tanpa ada kepahitan, dugaan dan rintangan. Untuk mengecapi kebahagiaan perlu ada pengorbanan. Setiap kesenangan harus ada bayaran. Sama seperti kehadiran pelangi yang memerlukan hujan.

Biarlah hadirnya hujan di dalam hati, kerana pasti ada pelangi yang menanti. Insya Allah.

26/04/2012

Kisah Benar....

Kisah Benar; (Diceritakan sendiri oleh ibu). Anak beliau baru berumur 2thn 8bln. Sudah beberapa hari mengadu sakit perut sembelit.. disebabkan tak tahan mendengar anaknya menagis, dia terus membawa anaknya ke hospital pada tengahhari Ahad. Sampai di hospital, doktor memaklumkan bahawa anaknya sembelit biasa saja, dan doktor hanya memberi ubat sembelit..
Balik ke rumah, anaknya masih menangis dan menunjukkan tempat sakit nya... Disebabkan tidak tahan mendengar dan melihat keadaan anaknya, beliau sekali lagi membawa anaknya pada 12 tengah malam hospital.. Jumpa doktor, doktor menasihati ibu agar tidak risau kerana anaknya hanya sembelit biasa.. "kami tak bagi ubat sebab tadi dah bagi ubat, so just follow makan ubat tu saja"..
Si ibu tak puas hati lalu bertanya lagi, "doktor, tak kan makan ubat tu saja, tak ada ubat lain ker? atau doktor tak nak x-ray anak saya ke? takut takut appendiks ker?" Doktor tersebut menjawab " tak perlu x-ray.. tak necessary pun.. dia tak ada appendiks, sebab dia tidak demam pun.. so puan bawak anak balik, and just bagi makan ubat tadi saja. puan boleh bagi ubat demam yang ada kat rumah untuk anak puan kalau dia sakit.. ubat demam boleh jadi ubat tahan sakit juga. kat rumah puan ada ubat demam kan.. so just mkn ubat demam tu lah"
Si ibu tertanya tanya.. "doktor, ubat demam bleh jadi ubat tahan sakit ker?" Doktor " boleh.....puan bawa balik saja anak puan.. kami tak bleh buat apa pun.. just sembelit biasa je" Si ibu ... bengang... dan tertanya2, kenapa tidak admit saja anaknya masuk wad. sepanjang malam anaknya asyik menangis... esoknya, tidak kurang juga walau pun dah makan ubat yang di syorkan, dia nekad bawa anaknya ke 'Hoapital Lain'... di sana sagala galanya terjawab.... Anak beliau di tahan di wad di x-ray, dan didapati usus anaknya bengkak dan tersumbat. dan terpaksa dibedah malam itu juga sebab dah kritikal.. doktor memberitahu bahawa usus kecil anaknya dah termasuk ke dalam usus besar anaknya... menyebabkan najis tidak boleh keluar, dan tersumbat.. ususnya juga bengkak... esoknya dia bertanya kepada doktor bedah.. "doktor kalau saya terlambat bawa anak macam mana? atau saya bawa anak saya ni pada masa yang tepat ke?
"Doktor gelak "kalau terlambat, usus boleh pecah dan boleh mati.. sebenarnya puan lambat.. kalau datang awal, mungkin tidak perlu bedah... sekarang ni ni saja lah solutionnya"
Lepas bedah, si anak kena puasa sekurang kurangnya 3 hingga 4 hari. tak boleh makan.. sebab takut bahaya, kerana ia melibatkan usus... kesian si kecil tu....merayu rayu nak minum susu.. bila penat menangis, dia akan tertidur.. bila bangun menangis lagi.. lapar... sampai kehabisan tenaga untuk menangis.. doktor hanya boleh masukkan drip air dan ubat tapi tidak sama rasanya makanan masuk ikut mulut dengan masuk ikut tangan...
So, Jangan pandang ringan setiap kesakitan anak-anak, walaupun ringan bagi orang dewasa tetapi tidak bagi kanak-kanak.

24/04/2012

Terima Kasih

Berapa ramaikah di antara kita yang setiap hari bersyukur dengan apa yang telah dianugerahkan oleh Allah. Pangkat yang besar, kereta yang mewah, rumah yang gah, barang kemas yang berkilauan, wang ringgit yang berlebihan, pakaian yang berharga ribuan serta segala macam yang melambangkan kemewahan. Dilengkapi dengan cara berjalan yang angkuh, cara bercakap yang lantang dan sifat yang sombong, seolah-olah kita perlu dihormati bukan menghormati.
          Takut benar untuk merendahkan diri. Mungkin takut dipijak dan dihenyak! Mungkin takut ditagih simpati mereka yang tidak upaya! Atau.. Mungkin merasakan darjat kita tidak serupa!
          Wahai Saudara ku, sesungguhnya INGAT lah. Apa yang kita punya itu milik DIA. Kita hanya diamanahkan buat sementara. Berterima kasih dan bersyukurlah kepada Nya kerana kita diberi kelebihan, keistimewaan dan menjadi hamba pilihan untuk membantu mereka yang terpilih mendapat ujian kesusahan.         
         Berapa ramaikah di antara kita yang berterima kasih kepada jantungnya, matanya, otaknya, kakinya dan segala anggota yang dikurniakan oleh Allah. Saudara ku, berapa kali kita meletakkan tangan ke jantung dan merasai denyutannya? Rasalah, adakah denyutan hari ini sama seperti semalam, hari esok sama seperti hari ini. Usaplah dan belailah jantung kita dan katakan padanya " terima kasih jantungku, aku doakan engkau sentiasa sihat dan kuat". Senyumlah, seolah-olah kita sedang senyum kepada jantung anda. Jika jantung kita sihat, diri  kita juga sihat.
          Buatlah pada setiap anggota tubuh yang terlalu berjasa kepada kita. Anggota tubuh yang setia melaksanakan tugasnya tanpa meminta imbuhan.
         Marilah kita membuat perubahan dengan bersyukur dan berterima kasih pada apa yang kita ada. Sesungguhnya fizikal dan mental yang sihat melahirkan emosi dan roh yang kuat.

19/04/2012

Ya Allah... aku tahu

Ya Allah, aku tahu setiap ujian adalah tarbiyyah dari Mu
Tapi, mengapa aku masih gagal memupuk kesabaran ku

Ya Allah, aku tahu kesakitan dari Mu adalah kaffarah kepada dosa-dosaku
Tapi, mengapa aku masih mengeluh bila menghadapinya

Ya Allah, aku tahu setiap kebajikan akan menghapus kejahatan
Tapi, mengapa aku masih gagal mengikhlaskan perlakuan ku

Ya Allah, aku tahu sesungguhnya Engkau sentiasa mengawasi aku
Tapi, mengapa aku masih mengingkari Mu

Ya Allah, aku tahu nafsu itu musuh utama ku
Tapi, mengapa aku gagal melawan nafsu ku

Ya Allah, aku tahu rapuhnya iman ku
Tapi, mengapa aku tidak memperbaiki akidah ku

Ya Allah, aku tahu godaan syaitan sentiasa melingkariku
Tapi, mengapa aku sentiasa lalai dalam mengingati Mu

Ya Allah, aku tahu Al-Quran dan Sunnah pedoman hidup ku
Tapi, mengapa aku selalu alpa mengamalkan perintah Mu

Ya Allah, aku tahu jahilnya aku
Tapi, mengapa aku tidak menyibukkan diriku dengan majlis ilmu

Ya Allah, aku tahu Engkau selalu ada untuk ku
Tapi, mengapa aku masih mengharapkan simpati manusia

Ya Allah, dosa ku menggunung tinggi, tapi rahmat Mu melangit luas, Ya Allah, walau taubat sering ku mungkir tapi pengampunan Mu tak bernah bertepi, Ya Allah, selangkah ku rapat padaMu seribu langkah kau rapat pada ku. Sesungguhnya aku bersyukur kerana menjadi umat Rasul Mu...

13/04/2012

Apakah Yang Mencantikkan Wajah

Al-Ahnaf bin Qais tergolong dari golongan ulama-ulama yang terkenal di zaman hidupnya. Pada suatu hari datang seorang pemuda dari suku Tai'yi berkunjung ke rumahnya. Rumah Al-Ahnaf memang sentiasa dikunjungi oleh orang ramai terutama oleh anak-anak murid dan sahabat-sahabatnya. Mereka sekelian menziarahinya dengan tujuan untuk menuntut ilmu darinya. Kedatangan pemuda dari suku Tai'yi itu menarik perhatiannya. Ahnaf mendapati pemuda itu sangat tampan dan kacak. Lalu dia pun bertanya: "Wahai orang muda, adakah kamu menghiasi wajahmu dengan sesuatu?"
"Benar tuan, sesungguhnya saya ada menghiasi wajah saya dengan sesuatu." ujarnya dengan sopan serta ringkas. Pemuda itu menyambung lagi, "Kalau saya bercakap saya tidak bohong. Kalau ada orang sedang bercakap saya dengar. Kalau saya berjanji saya tepati, dan kalau saya diberi amanah, saya tidak khianati." Mendengar jawapan itu maka berkatalah Ahnaf, "Benar seperti kata mu wahai orang muda, sungguh engkau telah hiasi dirimu dengan akhlak yang mulia."