Berapa ramaikah di antara kita yang setiap hari bersyukur dengan apa yang telah dianugerahkan oleh Allah. Pangkat yang besar, kereta yang mewah, rumah yang gah, barang kemas yang berkilauan, wang ringgit yang berlebihan, pakaian yang berharga ribuan serta segala macam yang melambangkan kemewahan. Dilengkapi dengan cara berjalan yang angkuh, cara bercakap yang lantang dan sifat yang sombong, seolah-olah kita perlu dihormati bukan menghormati.
Takut benar untuk merendahkan diri. Mungkin takut dipijak dan dihenyak! Mungkin takut ditagih simpati mereka yang tidak upaya! Atau.. Mungkin merasakan darjat kita tidak serupa!
Wahai Saudara ku, sesungguhnya INGAT lah. Apa yang kita punya itu milik DIA. Kita hanya diamanahkan buat sementara. Berterima kasih dan bersyukurlah kepada Nya kerana kita diberi kelebihan, keistimewaan dan menjadi hamba pilihan untuk membantu mereka yang terpilih mendapat ujian kesusahan.
Berapa ramaikah di antara kita yang berterima kasih kepada jantungnya, matanya, otaknya, kakinya dan segala anggota yang dikurniakan oleh Allah. Saudara ku, berapa kali kita meletakkan tangan ke jantung dan merasai denyutannya? Rasalah, adakah denyutan hari ini sama seperti semalam, hari esok sama seperti hari ini. Usaplah dan belailah jantung kita dan katakan padanya " terima kasih jantungku, aku doakan engkau sentiasa sihat dan kuat". Senyumlah, seolah-olah kita sedang senyum kepada jantung anda. Jika jantung kita sihat, diri kita juga sihat.
Buatlah pada setiap anggota tubuh yang terlalu berjasa kepada kita. Anggota tubuh yang setia melaksanakan tugasnya tanpa meminta imbuhan.
Marilah kita membuat perubahan dengan bersyukur dan berterima kasih pada apa yang kita ada. Sesungguhnya fizikal dan mental yang sihat melahirkan emosi dan roh yang kuat.
No comments:
Post a Comment